Majlis tindakan perubahan iklim akan ditubuhkan: Tun M

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menubuhkan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Kebangsaan bagi menangani perkara berhubung isu yang mendesak, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Langkah itu akan memenuhi janji yang dibuat dalam manifesto PH (Pakatan Harapan)," katanya pada pelancaran Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa (IGEM) 2019 di sini hari ini.

Beliau juga menggunakan pentas IGEM bagi mengumumkan penjenamaan semula Malaysian Green Technology Corporation kepada Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTCCC) di mana Majlis Tindakan Perubahan Iklim Kebangsaan akan ditubuhkan.

“Langkah ini (penjenamaan semula) adalah selari dengan komitmen kerajaan PH untuk mengecilkan perkhidmatan awam dan mengurangkan perbelanjaan dengan mengoptimumkan penyampaian,” katanya.

Langkah penjenamaan itu bersempena dengan ulang tahun ke-10 perbadanan berkenaan, sebuah agensi diwujudkan sebagai pemangkin pengambilan teknologi hijau di negara ini di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Dr Mahathir menekankan pentingnya agar negara berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan bersedia untuk menghadapi kesan perubahan iklim seperti kenaikan paras laut, gangguan perubahan makanan, penjagaan kesihatan dan yang lain.

“Sebuah Pusat Perubahan Iklim Kebangsaan diperlukan untuk melakukan kutipan data yang berhubung dengan perubahan iklim, analisis risiko, penyelarasan dasar dalam kalangan pelbagai peringkat dan aspek kerajaan bagi memastikan Malaysia bukan sahaja bertahan tetapi berkembang maju apabila dunia tidak dapat tidak menjadi panas pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga memuji MESTECC kerana mewujudkan kerangka peraturan yang menjadi pemangkin kepada kewangan swasta dalam pelaburan projek tenaga yang diperbaharui.

Artikel Berkaitan:

"Dalam kes pertumbuhan mampan teknologi hijau, ia perlu disuntik terutamanya oleh pelaburan swasta berbanding dana awam,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan PH akan mengusahakan ke arah agenda hijau.

"Saya menanti pembentangan undang-undang baharu itu seperti kecekapan dan pemuliharaan tenaga serta perlindungan alam sekitar di Parlimen,” katanya. - Bernama