Untung tahu banyak bahasa

A
A
A

BEBERAPA idea Dr Maszlee Malik sejak beliau menjadi Menteri Pendidikan tujuh bulan lalu berhadapan dengan kritikan. Kita masih ingat pengumuman beliau mengenai pemakaian kasut hitam dalam kalangan pelajar tahun 2019 (yang kini diubah ke tahun 2020) diperlekehkan oleh beberapa pihak. Mereka menyifatkannya sebagai isu remeh yang tidak memerlukan ia disentuh oleh seorang menteri.

Begitu juga hasrat beliau mahu mendapatkan kerjasama pihak hotel untuk membantu usaha melatih pelajar berenang. Tetapi saya tabik kepada Maszlee. Segala kritikan tidak membuat beliau menutup mulutnya daripada terus menyatakan perkara yang dipercayai baik walaupun sedar akan mengundang kecaman. Yang penting beliau berusaha ke arah kebaikan.

Hanya dua hari lalu, Maszlee bersuara lagi mengenai isu yang boleh membuka luas pintu kritikan kepada sesiapa sahaja yang mahu melihatnya dari sudut negatif. Beliau menyuarakan komitmen kementerian untuk menjadikan rakyat Malaysia mampu menguasai bahasa ketiga atau keempat, termasuk bahasa Arab.

Katanya, pihaknya sudah mengadakan kerjasama dengan pihak-pihak tempatan dan antarabangsa untuk memperkasakan usaha penguasaan bahasa asing dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, pada 2011 kementerian melancarkan kajian semula sistem pendidikan negara secara menyeluruh dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang baharu.

"Kementerian Pendidikan menggariskan 11 anjakan utama untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara, satu daripadanya ialah memperkasakan penguasaan pelbagai bahasa dalam kalangan pelajar, termasuk Melayu, Inggeris dan Arab serta menggalakkan mereka mempelajari bahasa asing lain," katanya, seperti dilaporkan Bernama, kelmarin.

Sementara saya antara yang pertama mengalu-alukan usaha ini, saya percaya, seperti biasalah, akan ada yang tidak bersetuju dengan usaha begitu.

Pada sesetengah pihak, ia adalah sesuatu yang bukan sahaja rumit kalau pun tidak mustahil, tetapi memerlukan banyak perbelanjaan di samping memerah otak pelajar ke tahap yang melampau.

Artikel Berkaitan:

Sebagai seorang daripada mereka yang lebih 40 tahun menceburi bidang penulisan bahasa Melayu dan Inggeris, saya akui bahasa bukan sesuatu yang mudah dikuasai. Dengan kata lain, tiada jalan mudah dalam mempelajari - apa lagi menguasai - sesuatu bahasa.

Saya sering kali berkongsi sama ada dalam kursus atau dalam kalangan rakan-rakan bahawa ada empat "rukun" yang tidak boleh tiada, wajib dipatuhi sekiranya seseorang benar-benar mahu menguasai sesuatu bahasa, iaitu dengar, baca, tulis dan cakap; Sekali lagi saya ingin ingatkan, tiada jalan pintas!

Kita perlu akui ramai di antara kita yang belajar bahasa Arab, umpamanya, tercicir di separuh jalan walaupun kita memulakan pembelajaran dengan semangat berkobar-kobar disebabkan tidak patuh dengan empat "rukun" tadi.

Mereka yang melaluinya akan bersetuju proses menguasai sesuatu bahasa mengambil masa seumur hidup.

Dengan menguasai satu bahasa sahaja pun seseorang sudah mendapat manfaat dalam pelbagai bidang. Pada saya, buat permulaan usaha bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk rakyat kita menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa, iaitu bahasa Melayu dan Inggeris. Menguasai lebih daripada itu tentunya lebih menguntungkan.

Pada saya, kalau tidak dapat menguasai, dapat berinteraksi dalam lebih daripada satu bahasa pun sudah cukup bagus. Yang hampir pasti, mereka yang boleh bertutur banyak bahasa mempunyai lingkungan rakan-rakan yang lebih luas dan kelebihan dalam urusan perniagaan, pekerjaan, sosial dan lain-lain lagi.

Kita sedia maklum kelebihan orang kita yang menguasai bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Mereka lebih laku di pasaran pekerjaan dibandingkan dengan yang hanya menguasai satu bahasa. Bayangkan kelebihan seseorang, yang, selain daripada bahasa Melayu, dapat menguasai bahasa Inggeris, Mandarin dan Arab serta Perancis, sebagai contoh. Kita pasti mereka akan menjadi rebutan dalam kalangan majikan, apa lagi dari sektor pelancongan, pendidikan dan perusahaan.

Selamat Tahun Baharu kepada semua pembaca budiman. Doakan ia mendatangkan lebih banyak manfaat kepada rakyat dan negara yang kita cintai ini.

* Penulis bekas wartawan yang cenderung menulis mengenai palbagai isu untuk kepentingan rakyat dan negara.