Ambil alih PLUS: Maju Holdings tawar kurangkan kadar tol hingga 36 peratus

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Maju Holdings Sdn Bhd (Maju Holdings) menawarkan kepada kerajaan untuk mengurangkan kadar tol sehingga 36 peratus jika cadangan pengambilalihan PLUS Malaysia Bhd, syarikat konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia diluluskan.

Menerusi satu kenyataan, syarikat itu turut komited untuk melabur kira-kira RM5.3 bilion yang termasuk memasang lampu di sepanjang lebuh raya bersama-sama dengan penambahbaikan lain yang diperlukan.

Katanya, Maju Holdings Sdn Bhd turut mencadangkan untuk menyerap RM2.7 bilion bagi pampasan tol yang perlu dibayar kerajaan kepada PLUS Malaysia Bhd sekiranya pengambilalihan konsesi lebuh raya terbesar negara itu oleh syarikat berkenaan berjalan lancar.

"Kerajaan ketika ini perlu membayar kepada PLUS kira-kira RM2.7 bilion bagi pampasan tol, dan sekiranya Maju Holdings mengambil alih PLUS, kami ingin memaklumkan bahawa kami tidak akan membiarkan kerajaan bertanggungjawab bagi hutang itu,” katanya di sini.

Maju Holdings berkata, perkara tersebut akan diterjemahkan kepada penjimatan RM2.7 bilion di pihak kerajaan atas hakikat bahawa Maju Holdings akan menyerap pampasan RM2.7 bilion itu.

"Nilai enterpris kami untuk membeli PLUS termasuk tunggakan hutang kepada pemegang bon iaitu sebanyak RM34.9 bilion.

"Pertimbangan pembelian ini mencerminkan nilai sebenar dan adil bagi syarikat ini dan asetnya, dengan mengambil kira hasrat kami untuk menawarkan diskaun ketara kepada pengguna lebuh raya Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Maju Holdings yang merupakan pemilik Maju Expressway Sdn Bhd, pengendali Maju Expressway (MEX) berkata, dengan tawaran terbaru itu, syarikat menawarkan kepada kerajaan dan pemegang saham sedia ada PLUS Kadar Pulangan Dalaman jumlah ekuiti pada anggaran 16 peratus.

"Ini membabitkan pulangan yang melebihi kos ekuiti bagi majoriti konsesi jalan bertol yang lain, sama ada di peringkat global mahupun di Asia Tenggara,” katanya.

Syarikat itu juga yakin rekod operasinya yang baik dalam menguruskan Lebuhraya MEX akan membantu mengurangkan kos penyelenggaraan PLUS.

"Kami telah berjaya mengendalikan operasi Lebuhraya MEX secara cekap kos pada tahap tinggi berbanding dengan jalan bertol PLUS yang sepatutnya mendapat manfaat daripada pelbagai skala ekonomi.

Malah, kami mempunyai satu daripada kos terendah bagi setiap kilometer di negara ini,” katanya.

Pada 22 Ogos, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan belum membuat keputusan berhubung cadangan Maju Holdings-PLUS dan mengesahkan kutipan tol lebuh raya itu akan diteruskan walaupun konsesi PLUS diambil alih oleh mana-mana entiti lain.

Maju Holdings yang dikuasai ahli perniagaan Tan Sri Abu Sahid Mohamed dilaporkan pernah membuat tawaran sebanyak RM36 bilion untuk mengambil alih PLUS pada 2017.

ARTIKEL BERKAITAN: Sedia kaji bidaan PLUS sekiranya bersesuaian: PM