Utusan Malaysia tutup: Kakitangan keliru, notis terlalu singkat

Mohd Taufik (tengah) pada sidang akhbar di Bangunan Utusan Malaysia Jalan Chan Sow Lin di sini hari ini.
Mohd Taufik (tengah) pada sidang akhbar di Bangunan Utusan Malaysia Jalan Chan Sow Lin di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu menyifatkan penutupan operasi syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang dibuat dalam tempoh notis yang singkat sebagai tidak berperikemanusiaan.

Pengerusinya, Mohd Taufik Razak berkata, penutupan operasi syarikat tidak sepatutnya dibuat dalam keadaan drastik kerana perkara itu boleh dirancang lebih awal.

"Kami keliru. Tindakan syarikat tidak berperikemanusiaan dan tidak wajar kerana notis yang diberi terlalu singkat.

"Tanpa ada pampasan, diberi notis yang singkat untuk keluar. Malah hari ini tiada seorang pun wakil pengurusan eksekutif. Hanya ada ketua-ketua jabatan.

"Banyak persoalan daripada kakitangan yang tidak dapat dijawab," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Utusan Malaysia Jalan Chan Sow Lin di sini hari ini.

Kakitangan Utusan Malaysia keluar dari bangunan pejabat pada hari terakhir operasi hari ini.
Kakitangan Utusan Malaysia keluar dari bangunan pejabat pada hari terakhir operasi hari ini.

Mohd Taufik menjelaskan, NUJ menganggap notis penghentian operasi syarikat Utusan Malaysia adalah tempoh bercuti yang diberikan oleh pihak pengurusan sehingga sebarang perkembangan diumumkan pada 30 Oktober depan.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak menerima sebarang surat pemberhentian kerja, dipecat atau sebagainya. Malah gaji kami akan dikira sehingga 31 Oktober ini untuk dibayar.

"Jadi sehingga tempoh 30 Oktober kami tidak dapat melakukan sebarang tindakan. Sebarang tindakan lanjut hanya akan dibuat selepas semua persoalan kami dijelaskan sama ada diserap semula, pembayaran pampasan dan sebagainya pada taklimat akan datang," katanya.

Mohd Taufik (tengah) pada sidang akhbar di Bangunan Utusan Malaysia Jalan Chan Sow Lin di sini hari ini.
Mohd Taufik (tengah) pada sidang akhbar di Bangunan Utusan Malaysia Jalan Chan Sow Lin di sini hari ini.

Terdahulu, Syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad hari ini mengesahkan penghentian operasi berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu dinyatakan dalam satu memorandum pekeliling ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir.

Beliau berkata, Lembaga Pengarah Utusan telah pada 7 Oktober 2019 meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation) dan seterusnya meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai Pelikuidasi Interim (Interim Liquidator).