Protes ganas: Presiden Iraq gesa redakan krisis

Pasukan polis diberikan kuasa semula untuk mengawal keselamatan di Sadr City semalam. - Foto AFP
Pasukan polis diberikan kuasa semula untuk mengawal keselamatan di Sadr City semalam. - Foto AFP
A
A
A

BAGHDAD - Presiden Iraq menggesa supaya meredakan krisis di negara itu selepas situasi semakin tegang akibat siri protes sejak minggu lalu yang meragut lebih 100 nyawa manakala kira-kira 6,000 lagi cedera.

Menerusi ucapan disiarkan stesen TV, Barham Saleh turut mencadangkan satu sesi dialog nasional secara menyeluruh dan terang-terangan tanpa campur tangan asing diadakan.

“Tidak ada legitimasi kepada sebarang proses politik atau sistem yang tidak berfungsi untuk mencapai tuntutan anda,” katanya.

Protes antikerajaan telah melanda Baghdad dan wilayah selatan negara itu sejak Selasa lalu yang pada awalnya untuk memerangi rasuah dan masalah pengangguran, namun tuntutan itu berubah menggesa kerajaan membaik-pulih sistem politik negara.

Beliau turut menggelar pihak yang menyerang penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan sebagai ‘musuh rakyat’ dan mengecam insiden serangan ke atas stesen media tempatan serta wilayah pada akhir minggu lalu.

Sejajar dengan arahan kerajaan untuk mengurangkan ketegangan, tentera telah diarah meninggalkan Sadr City menjelang petang semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: PBB gesa protes ganas di Iraq dihentikan

Perdana Menteri Iraq mengarahkan pasukan tentera supaya berundur dari Sadr City dan mengembalikan semula kuasa kepada polis untuk mengawal keselamatan di kawasan kejiranan di Baghdad yang dilanda siri protes ganas sejak minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Adel Abdul-Mahdi membuat keputusan itu selepas keganasan sejak seminggu lalu meragut lebih 100 nyawa manakala kira-kira 6,000 lagi cedera.

Sementara itu, tentera dalam satu kenyataan mengakui tindakan kekerasan melampau telah digunakan di Sadr City dan turut memaklumkan mana-mana anggota mereka yang didapati melakukan perbuatan itu akan dikenakan tindakan tegas.

Saksi mendakwa pasukan keselamatan telah menggunakan gas pemedih mata dan peluru hidup terhadap kumpulan protes.

Namun, pihak berkuasa menuduh keganasan itu dicetuskan oleh penembak tepat tidak dikenali yang melepaskan tembakan rambang ke arah penunjuk perasaan dan polis.

Dalam perkembangan lain, situasi di sekitar Baghdad dilaporkan kembali tenang. - Agensi