#BoycottMalaysia tidak jejas perdagangan Malaysia-India: PM

Perdana Menteri pada sidang media Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri pada sidang media Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan rakyat India menyuarakan rasa kecewa menerusi #BoycottMalaysia tidak akan menjejaskan hubungan perdagangan antara Malaysia dengan negara itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pendiriannya berhubung isu Jammu dan Kashmir bertujuan untuk kedua-dua negara menyelesaikan konflik melalui rundingan bukan kekerasan.

Menurutnya, perkara itu turut dibangkitkan ketika pertemuannya dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi.

"Saya tak dapat apa-apa, saya dah bercakap dengan Modi, kalau ada perasaan tak senang dia boleh berhubung dengan saya. Setakat ini tiada apa-apa.

"Jadi, hubungan perdagangan Malaysia dengan India dijangka tidak terjejas dengan tindakan 'boikot' mereka," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, kerajaan mesti tahu bagaimana hendak menangani masalah dan membuat teguran yang tidak memihak kepada sesiapa.

Katanya, jika kerajaan membuat teguran sekalipun, ia cuma menuntut kedua-dua pihak berunding dan jangan menggunakan kekerasan.

"Itu memang dasar kita, tidak guna kekerasan sebaliknya runding atau bilateral atau sistem perundangan. Ini yang saya bangkitkan kepada Modi semasa berjumpa dengannya.

Artikel Berkaitan:

"Ucapan saya ini susulan daripada pendirian kita bahawa kita tak ingin lihat keganasan berlaku," katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir yang menghadiri Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-74 di New York pada 24 hingga 28 September lalu menyeru India supaya bekerjasama dengan Pakistan bagi menyelesaikan isu tersebut dengan memberi peringatan bahawa ketidakpatuhan resolusi PBB akan menyebabkan pengabaian bentuk lain kepada badan dunia itu.

Sebelum itu, beliau menyentuh krisis Rohingya di Rakhine dan Palestin di Gaza yang sudah kian lama berlanjutan sebelum mengatakan wilayah Jammu dan Kashmir juga telah ‘diceroboh dan diduduki’.

Kenyataan Perdana Menteri itu telah menimbulkan kemarahan rakyat India kerana mereka percaya Kashmir mempunyai kepentingan dengan India dan negara lain tiada hak untuk campur tangan urusan kedaulatan negara mereka.