Empat lelaki ditahan, ketum bernilai RM78,000 dirampas

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Mohd Shahar Ibrahim (kanan) menunjukkan foto rampasan dan tangkapan daun ketum, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan rokok seludup yang dijalankan sepanjang kawasan sempadan Malaysia-Thailand dalam Ops Wawasan Kedah/Perlis selepas sidang media di Markas Tektikal PGA Bukit Kayu Hitam, hari ini. - Foto Bernama
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Mohd Shahar Ibrahim (kanan) menunjukkan foto rampasan dan tangkapan daun ketum, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan rokok seludup yang dijalankan sepanjang kawasan sempadan Malaysia-Thailand dalam Ops Wawasan Kedah/Perlis selepas sidang media di Markas Tektikal PGA Bukit Kayu Hitam, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan empat lelaki tempatan dan merampas 1,528 kilogram daun ketum bernilai lebih RM78,000 dalam tempoh sebulan Ops Wawasan Kedah/Perlis yang bermula 1 Disember lepas.

Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Mohd Shahar Ibrahim berkata suspek yang berusia 30 hingga 40-an terbabit ditahan dalam dua operasi berasingan di Padang Besar dan Kaki Bukit, masing-masing pada 14 dan 18 Disember.

Rampasan pertama dilakukan di pintu sempadan Pos 16, Padang Besar membabitkan 293kg daun ketum bernilai RM14,650 manakala rampasan kedua di sebuah pondok di kebun getah Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit dengan 1,275 kg daun ketum bernilai RM63,750, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya turut dirampas wang tunai berjumlah RM510 serta enam buah motosikal yang dipercayai digunakan untuk membawa daun ketum ke Thailand.

Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya.

Mengulas kes lain, Mohd Shahar berkata pihaknya menerusi Batalion ke-2 Gerakan Am Kulim menahan seorang tekong darat warga Thailand serta 14 pendatang asing tanpa izin (Pati) di sempadan Malaysia-Thailand pada 12 Disember lalu.

Katanya lelaki berusia 30-an tersebut ditahan kira-kira 12.21 tengah malam ketika cuba menyeludup masuk Pati warga Myanmar yang merangkumi sembilan lelaki dan tiga wanita di sepanjang sempadan Pos 16 hingga Pos 7.

“Suspek juga sebelum itu membawa keluar dua lagi lelaki warga Myanmar ke Thailand yang berjaya kita tahan kira-kira sejam kemudian di sekitar lokasi sama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya siasatan mendapati suspek yang menggunakan lorong tikus untuk menyeludup masuk Pati ke negara ini dibayar RM400 oleh sindiket bagi setiap Pati yang dibawanya.

“Lelaki Thailand itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 26 (A) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala kesemua Pati Myanmar yang masuk secara haram di siasat menurut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shahar berkata pihaknya turut meningkatkan kawalan bagi mengekang aktiviti penyeludupan ganja atau dadah lain di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand ekoran langkah kerajaan Thai meluluskan pindaan undang-undang narkotiknya yang membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan.- Bernama