PERKESO buka pusat dialisis baharu di Pulau Pinang

Steven Sim (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada salah seorang pencarum yang menerima faedah PERKESO.
Steven Sim (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada salah seorang pencarum yang menerima faedah PERKESO.
A
A
A

KEPALA BATAS - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan membuka sebuah pusat dialisis di Pulau Pinang melibatkan kos RM2.6 juta menjelang hujung tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pusat dialisis yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh PERKESO itu akan memberikan khidmat perubatan kepada pencarumnya yang menghidap penyakit buah pinggang secara percuma.

Menurutnya, pusat dialisis berkenaan boleh menempatkan seramai 144 orang pesakit setiap hari.

"Selain mempunyai 63 panel pusat dialisis di negeri ini, termasuk lima di Kepala Batas, kita akan membuka sebuah lagi pusat dialisis bagi dimanfaatkan oleh pencarum-pencarum kita yang mengalami penyakit buah pinggang.

"Pastinya PERKESO akan memberikan perkhidmatan yang paling terbaik dan kemudahan yang selesa sepanjang mereka mendapatkan rawatan di pusat dialilis yang disediakan,"katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri KESUMA MADANI PERKESO 2024 di Vision Park, di sini pada Sabtu.

Steven Sim (tengah) bergambar bersama anak yatim dan ibu tunggal yang diraikan.
Steven Sim (tengah) bergambar bersama anak yatim dan ibu tunggal yang diraikan.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Pada majlis berkenaan, selain memberikan sumbangan duit raya kepada 100 orang anak yatim dan 40 ibu tunggal, PERKESO juga menyampaikan bayaran faedah kepada 15 pencarum yang ditimpa musibah dengan melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM211,236.41 beserta alat pemulihan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Steven Sim dilaporkan berkata, PERKESO bercadang membuka pusat dialisis di setiap negeri dalam tempoh dua tahun ini bagi memberikan khidmat perubatan kepada pencarumnya yang menghidap penyakit buah pinggang.

Beliau berkata, sebanyak RM24 juta telah disediakan bagi pembinaan pusat-pusat dialisis berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!