JPJ Terengganu giat banteras kereta klon

jpj
jpj
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu tekad menggiatkan lagi usaha membanteras segala bentuk kesalahan melibatkan kereta klon agar ia tidak terus menular.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata ini kerana kajian menunjukkan negeri itu tersenarai sebagai negeri tertinggi terlibat dalam kes kereta klon sejak 2014 hingga 2018.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 296 kenderaan klon telah dikenal pasti dan disita.

“Tahun lepas sahaja, sebanyak 20 kenderaan klon disita, antaranya jenis Honda Jazz dan Mini Cooper. Kebiasaannya individu yang sering menjadi mangsa penipuan kereta klon ini adalah golongan yang meminati kereta mewah.

“Pihak yang tidak bertanggungjawab itu akan menjadikan mereka sebagai sasaran dengan menawarkan pakej harga murah dan janji kononnya kenderaan tersebut tidak mempunyai sebarang masalah,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi khas Tahun Baharu 2019 awal pagi tadi.

Bagi mengelak perkara sedemikian berulang, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan janji manis penjual, sebaliknya membuat semakan di kaunter JPJ.

Menurut Zulkarnain, sepanjang tempoh Jan hingga Dis 2018 juga, sebanyak 156,000 kenderaan telah diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 4,385 kesalahan telah direkodkan manakala 29,250 notis dikeluarkan, atas pelbagai kesalahan termasuk gagal mematuhi lampu isyarat dan menggunakan lorong kecemasan.

Mengenai operasi awal pagi tadi, beliau berkata sebanyak 616 notis saman telah dikeluarkan, atas pelbagai kesalahan termasuk menggunakan cermin gelap yang tidak mematuhi peraturan sedia ada.Sebanyak lapan motosikal dan sebuah kereta turut di sita.- Bernama

Artikel Berkaitan: