Kereta remuk terlanggar dua lembu melintas jalan

Keadaan kereta Perodua Viva yang remuk dalam kemalangan melibatkan dua ekor lembu di Kilometer 28, Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi di Hulu Terengganu pada malam Sabtu.
Keadaan kereta Perodua Viva yang remuk dalam kemalangan melibatkan dua ekor lembu di Kilometer 28, Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi di Hulu Terengganu pada malam Sabtu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang operator kilang berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya melanggar dua ekor lembu yang tiba-tiba melintas jalan dalam kejadian di Kilometer 28, Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi di sini malam Sabtu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.20 malam itu apabila kereta jenis Perodua Viva dipandu mangsa, Masrol Idham Muhamad, 23, dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kampung Bukit Diman, Ajil, di sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Hasmerra Hassan berkata, ketika kejadian mangsa memandu di lorong kiri jalan sebelum dua ekor lembu secara tiba-tiba melintas dari kiri ke kanan jalan.

"Disebabkan jarak terlalu dekat mangsa tidak sempat memperlahankan kenderaan untuk mengelak lalu melanggar kedua-dua ekor lembu tersebut.

"Kedua-dua lembu mati di tempat kejadian sementara mangsa tidak mengalami kecederaan. Kereta dipandu pula rosak pada keseluruhan bahagian hadapan," katanya ketika dihubungi, di sini pada Ahad.

Sementara itu, Hasmerra mengingatkan kepada golongan penternak supaya lebih bertanggungjawab terhadap haiwan ternakan dan tidak membiarkan berkeliaran di tempat awam terutama di jalan raya.

"Selain mengganggu kebun dan tanaman orang ramai, haiwan yang berkeliaran di jalan raya juga mendatangkan bahaya kepada pengguna serta boleh menyebabkan kemalangan maut.

"Ia juga merupakan satu kesalahan di bawah Rule 33 (1) LN 166/59 di mana boleh membawa kepada hukuman denda tidak lebih RM2,000 atau tidak lebih enam bulan penjara.

"Bagi pertuduhan kali kedua pula, pesalah boleh hukuman denda tidak lebih RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.