Dua pemandu mabuk ditahan

PDRM
PDRM
A
A
A

BUTTERWORTH - Polis menahan dua pemandu kereta kerana memandu dalam keadaan mabuk dalam operasi khas di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata dalam operasi bermula pukul 2 pagi dan tamat empat jam kemudian itu, pihaknya menahan dua pemandu kereta masing-masing berusia 40 dan 46 tahun.

"Pemeriksaan ke atas dua lelaki yang bekerja sendiri itu mendapati mereka memandu kereta di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan. Hasil ujian mendapati bacaan ujian Evidential Breath Analyser (EBA) bagi kedua-dua tangkapan adalah 109mg/100ml dan 134mg/100ml," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar tidak memandu dalam keadaan mabuk kerana ia bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah pengguna jalan raya yang lain.- Bernama

Artikel Berkaitan: