Harga minyak tak turun-turun, hadiah tahun baharu

Shahir Adnan
Shahir Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Harga minyak yang masih tidak turun menjadi hadiah tahun baharu buat rakyat negara ini selepas PH mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan sejak Mei lalu.

Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Shahir Adnan berkata, tahun ini juga bakal menjadi tahun yang mencabar buat rakyat kerana dasar ekonomi PH yang lemah.

Menurutnya, pihaknya kecewa apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hanya mampu memberi alasan harga minyak tidak dapat diturunkan kerana isu tersebut perlu dibawa ke mesyuarat Kabinet bagi merealisasikan apungan harga minyak mingguan.

“Hari pertama tahun ini rakyat ‘dihadiahkan’ dengan harga minyak yang masih tidak turun dengan alasan mahu bawa isu ini ke mesyuarat Kabinet dulu sedangkan harga minyak dunia turun lagi jika dibandingkan bulan Oktober ke Disember.

“Harga minyak dunia jatuh daripada AS$82 per barel kepada AS$60 per barel pada bulan Disember. Terkini, harga minyak satu barrel adalah sekitar AS$50,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, mengikut pengiraan terkini menggunakan harga minyak AS$50 per barel, selepas memasukkan keseluruhan kos dan margin keuntungan, harga minyak di stesen minyak dianggarkan RM1.71 seliter.

“Ini menunjukkan rakyat bayar hampir 50 sen setiap liter kepada kerajaan PH pada bulan Januari tahun ini. Inilah cukai senyap diambil daripada rakyat pada hari pertama tahun 2019.

“Setelah membuat kiraan lebih terperinci, kerajaan sebenarnya tidak perlu bayar subsidi minyak apabila harga minyak AS$70 per barel,”katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera berkata, kerajaan mempunyai tempoh dua bulan untuk memberitahu rakyat dan mengurangkan beban rakyat dengan menurunkan harga minyak di stesen minyak.

Bagaimanapun dakwanya, menteri dan kerajaan lebih memilih untuk mendiamkan diri.

“Ini adalah bulan ketiga rakyat membayar cukai minyak kepada kerajaan secara senyap. Kami gesa menteri bersikap telus dan prihatin dengan kesusahan dialami rakyat. Kami gesa harga minyak diturunkan mengikut perkiraan harga minyak dunia dan diapungkan setiap minggu dengan harga siling sekiranya harga minyak dunia kembali naik. Kerajaan jangan takut dengan pengusaha stesen minyak. Seharusnya kebajikan rakyat didahulukan.” katanya lagi.