NGO kecewa ucapan Dr Mahathir dalam Kongres Maruah Melayu

Aminuddin (kanan) memberi kenyataan dalam Facebook live, hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Gerakan Pembela Ummah menyifatkan kenyataan dan ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu Kongres Maruah Melayu (KMM) 2019 hari ini begitu mengecewakan kerana sekadar menghina bangsa Melayu.

Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, sebanyak 60 hingga 70 peratus ucapan Dr Mahathir menjatuhkan imej kaum tersebut selain tidak menampakkan elemen baharu ke arah menuju perpaduan ummah.

"Ucapan beliau seolah-olah tidak menghormati barisan pemimpin politik Melayu yang datang melihat kebersamaan dalam jati diri dan perpaduan Melayu Islam demi bangsa Melayu, sebaliknya hanya merendahkan bangsa Melayu dengan menyatakan orang Melayu tidak mahu kerja keras, enggan kerja susah dan sebagainya.

"Ucapan beliau anti-klimaks kerana rendahkan orang Melayu. Saya rasa majoriti orang Melayu turut kecewa dengan apa yang diucapkan PM dan kami harapkan rakyat terus bangun dan jangan biarkan kerajaan seperti ini persendakan tentang nasib bangsa orang Melayu," katanya menerusi FB Live hari ini.

Beliau berkata, Gerakan Pembela Ummah juga menyifatkan KMM berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam itu tidak mencapai matlamatnya, sebaliknya amat malang apabila negara ini terus menyaksikan perpecahan.

Katanya, penganjuran Kongres Maruah Melayu tersebut tidak menaikkan imej dan maruah Melayu tetapi menjatuhkan semangat orang Melayu walaupun 15 kluster dibangkitkan ada unsur-unsur kebersamaan dan cukup positif.

ARTIKEL BERKAITAN: Orang Melayu malu terima gaji RM1,100 sebulan tetapi...

Terdahulu, Dr Mahathir menegaskan bahawa pentas KMM adalah peluang untuk bercakap perkara yang benar tentang orang Melayu.

Tegasnya, jika ada yang tidak boleh mengakui kebenaran apa yang beliau suarakan, orang ramai boleh berpegang teguh kepada pendirian masing-masing.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga turut mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana membenarkan beliau berucap bagi bercakap benda yang benar tentang bangsa Melayu.