Menongkah naluri semula jadi

A
A
A

GERAKAN memperjuangkan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang mana matlamatnya untuk menyokong penerimaan kedudukan dan hak sama rata golongan LGBT dalam masyarakat semasa.

Walaupun tidak menggunakan nama LGBT secara spesifik, gerakan menyokong agenda LGBT ini telah lama bermula dengan sejarah yang cukup panjang dan perkembangan dari masa ke semasa.

Sekitar abad ke-18 dan abad ke-19 di Eropah, hubungan homoseksual adalah dianggap sebagai satu kesalahan jenayah yang serius dan dianggap sebagai perbuatan yang tidak bermoral di sisi masyarakat.

Di England khususnya, terdapat undang-undang yang menghukum perlakuan homoseksual dan perundangan ini berubah mengikut zaman.

Pada awalnya, undang-undang Buggery Act 1533, ketika zaman Raja Henry VIII memperuntukkan kesalahan homoseksual boleh dihukum bunuh.

Perundangan telah diubah dengan Offences Against The Person Act 1861 yang memperuntukkan kesalahan homoseksual kepada penjara seumur hidup.

Seterusnya, hukuman ini lebih ringan melalui Seksyen 11 Criminal Law Amendment Act 1885 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 2 tahun bagi kesalahan lelaki melakukan kelucahan melampau gross (indecency).

Akhirnya Sexual Offences Act 1967 telah memansuhkan kesalahan jenayah homoseksual di antara lelaki yang telah mencapai umur 21 tahun.

Artikel Berkaitan:

Ini jelas menunjukkan bahawa negara Barat pada mulanya tidak menerima perbuatan homoseksual dan perlakuan berkaitan LGBT.

Namun secara perlahan, masyarakat Barat tidak menolak perbuatan homoseksual mula menerimanya sebahagian daripada hak individu.

Pengiktirafan Perkahwinan Sejenis merupakan salah satu daripada agenda golongan LGBT.

Walaupun hampir semua agama tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis, sedikit demi sedikit pelbagai negara mula mengiktiraf perkahwinan sejenis.

Belanda adalah negara pertama yang membenarkan perkahwinan sejenis pada tahun 2001. Setakat 2014, perkahwinan sesama jenis juga diiktiraf di Sweden, Argentina, Belgium, Kanada, Iceland, Norway, Afrika Selatan, Sepanyol, Portugal, Denmark, Uruguay, Brazil, Perancis, New Zealand, Mexico dan Israel (walaupun tidak dilakukan di sana), bersama-sama dengan 25 buah negeri di Amerika Syarikat: Massachusetts, Iowa, Connecticut, Vermont, New Hampshire, New York, Maine, Maryland, Washington, Minnesota, New Mexico, Rhode Island, Delaware, California, New Jersey, Hawaii, Illinois, New Mexico, Utah, Oklahoma, Virginia, Oregon, Pennsylvania, Wisconsin, Indiana dan Colorado serta Daerah Columbia.

Homoseksual ialah sebahagian daripada perjuangan LGBT. Islam sememangnya melarang keras perbuatan tersebut.

Terdapat nas al-Quran yang memberi peringatan terhadap azab yang diturunkan kepada umat terdahulu mengenai maksiat berkaitan hubungan sejenis.

Daripada nas al-Quran [QS Al-A’raf:80-84] adalah jelas bahawa ALLAH SWT mencela perbuatan homoseksual dan menurunkan azab yang berat kepada pelaku-pelakunya sepertimana yang terjadi kepada kaum Nabi Lut di bandar Sodom dan Gomorrah.

Satu kesalahan

Di Malaysia, tiada peruntukan perundangan yang spesifik terhadap gerakan LGBT secara khusus. Namun perbuatan homoseksual dan perlakuan seksual di luar tabii adalah merupakan satu kesalahan berdasarkan sistem perundangan di Malaysia.

Merujuk kepada undang-undang Jenayah Sivil, Seksyen 377B Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa, “Sesiapa yang melakukan hubungan seks luar tabii secara sukarela, akan dihukum penjara maksima 20 tahun, termasuk sebatan."

Selanjutnya, bagi kesalahan yang melibatkan orang Islam, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan-kesalahan yang berkaitan perlakuan LGBT.

Antara kesalahan jenayah Syariah di Wilayah Persekutuan yang melibatkan LGBT adalah seperti berikut:

1. Seksyen 25 memperuntukkan perbuatan liwat.

2. Seksyen 26 memperuntukkan bahawa perbuatan Musahaqah (melakukan hubungan sejenis antara perempuan dengan perempuan).

3. Seksyen 28 memperuntukkan bahawa orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak bermoral

Berdasarkan peruntukan undang-undang di atas, adalah jelas bahawa kesalahan berkaitan LGBT adalah bertentangan dengan perundangan Malaysia.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)