Pembinaan saliran selesai isu banjir kilat di Jelapang

ADUN Jelapang, Cheah Pou Hian (dua, kiri) dan Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar (tiga, kiri) melihat saliran baru yang siap dibina, Jun lalu.
ADUN Jelapang, Cheah Pou Hian (dua, kiri) dan Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar (tiga, kiri) melihat saliran baru yang siap dibina, Jun lalu.
A
A
A

IPOH - Isu banjir kilat di kawasan Jelapang yang berlarutan sejak 50 tahun lalu dapat diatasi selepas kerajaan negeri melakukan pembinaan semula saliran dengan peruntukan lebih RM100,000.

Longkang sepanjang kira-kira 40 meter itu berupaya mengalirkan air terus ke sungai tanpa berlaku limpahan ke kawasan penempatan seperti sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Cheah Pou Hian berkata, projek itu dimulakan pada April lalu dan siap sepenuhnya dalam tempoh lapan minggu sahaja.

"Sejak mula digunakan akhir Jun lalu, kita dapati tiada lagi masalah banjir di kawasan ini walaupun ketika hujan lebat.

"Apa pun kita perlu lihat perkembangan pada musim tengkujuh nanti. Jika masalah sama berulang, maka kajian seterusnya masih perlu dilakukan," katanya pada sidang akhbar, semalam.

Menurutnya, sistem kawalan banjir di Jelapang pada asalnya siap pada 2011 namun gagal menyelesaikan masalah banjir kerana beberapa kecacatan pada reka bentuk utama di saluran perparitan Sungai Tapah dan Kampung Baru Jelapang.

"Atas faktor itu, satu proses mengukur, mereka bentuk dan membina semula longkang terpaksa dilakukan semula. Kita harap projek ini dapat menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi penduduk," katanya.

beliau berkata, pihaknya sedang melakukan penyelarasan dan menyusun semula pelan saliran di Kampung Jelapang dan RPT Jelapang Baru.

Artikel Berkaitan:

Pou Hian memberitahu, kajian mendapati, hampir 60 peratus kawasan itu tiada parit dan saliran yang sistematik khususnya penyambungan terus ke sistem perparitan utama.

"Kerja-kerja pemeriksaan dan merancang dijangka selesai dalam masa beberapa bulan sebelum dilaksanakan secara berperingkat," katanya.