Ibu tunggal didakwa langgar peserta larian, miliki dadah

Tertuduh ketika dibawa keluar dari mahkamah selepas pendakwaan.
Tertuduh ketika dibawa keluar dari mahkamah selepas pendakwaan.
A
A
A

AMPANG- Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu melanggar dua peserta larian Standard Chartered KL Marathon di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan memiliki dadah pada 29 dan 30 September lalu di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali.

Tertuduh, Cham Shan Jer, 25 membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pendakwaan dibacakan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh melakukan kesalahan pada jam 6.20 pagi ketika dua peserta lelaki Lee Wei Jack dan Faizul Shahrul Mohd Salleh, 44, dirempuh keretanya yang terbabas di laluan berkenaan, menyebabkan kedua-duanya cedera pada 29 September lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di laluan MRR2 Kuala Ampang, selepas susur Lebuhraya Bertingkap Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) menghala ke Gombak.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM50,000 jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 13.5 gram di dalam lokap Balai Polis Pandan Indah di sini jam 4.30 pagi pada 30 September lalu.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara dua hingga lima tahun dan sebatan tiga hingga sembilan kali jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria menawarkan jaminan RM10,000 bagi pertuduhan pertama dan RM8,000 untuk pertuduhan kedua.

Bagaimanapun peguam tertuduh T L Chen memohon ikat jamin dikurangkan kerana tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.

"Tertuduh merupakan seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak perempuan berusia empat tahun dan ini merupakan kesalahan pertama. Dia juga hanya bekerja sebagai peniaga pakaian yang dijual dalam talian," katanya.

Majistret Mohamad Firdaus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi pertuduhan pertama dan RM6,000 bagi pertuduhan kedua.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 November ini untuk sebutan semula kes.