Realisasi hak kesaksamaan gender

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta merealisasikan hak kesaksamaan gender dalam Belanjawan 2020 bagi memastikan kepentingan wanita terpelihara dan diskriminasi golongan itu dapat dihindari mengikut peruntukan tertentu dalam perundangan.

Pakar undang-undang keluarga, wanita dan kanak-kanak dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, antara usaha yang boleh diambil ialah mengoptimumkan kadar guna tenaga wanita dalam pasaran kerja terutama di sektor swasta.

Katanya, langkah memberikan akses sama rata kepada wanita berdasarkan kredibiliti, kemahiran dan keupayaan mereka dilihat mampu meningkatkan produktiviti syarikat sekali gus menambah pendapatan negara.

Malah laporan Bank Dunia baru-baru ini mengatakan bahawa pendapatan per kapita Malaysia boleh meningkat sebanyak 26.2 peratus dengan pendapatan tahunan purata sebanyak AS$2,250 (RM9,400) jika semua halangan ekonomi untuk wanita dihapuskan di negara ini.

“Wanita tidak lagi boleh dilihat sebagai pengisi kuota, sebaliknya mereka perlu dinilai berdasarkan kelayakan akademik, kemahiran dan kebolehan mereka lantas meningkatkan sumbangan kaum hawa kepada ekonomi negara.

“Peranan ini sudah giat dimainkan di sektor kerajaan tetapi di sektor swasta, pekerja wanita masih dianggap kurang berkeupayaan dan tidak boleh bersaing dengan lelaki terutama dalam pengurusan dan kepimpinan, sekali gus mengurangkan peluang kenaikan pangkat mereka,” katanya.

Ketika ini, wanita merangkumi 39 peratus daripada jumlah tenaga kerja Malaysia dengan lelaki mewakili 61 peratus.

Selain itu, Noor Aziah mahu kerajaan melihat semula peruntukan tertentu yang dianggap mendiskriminasi wanita antaranya melibatkan kesukaran golongan ibu mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia bagi anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, di bawah Perlembagaan Persekutuan, hanya bapa warganegara Malaysia yang dibenarkan memperoleh kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara, secara automatik sementara ibu perlu membuat permohonan bagi tujuan itu.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata, perkara itu mendatangkan pelbagai implikasi kepada wanita dan anak mereka termasuk dari sudut kesihatan, pendidikan dan khidmat sosial.

“Isu ini antara agenda yang perlu dititikberatkan kerana menafikan hak kewarganegaraan anak hanya disebabkan individu itu seorang wanita boleh memudaratkan seluruh institusi keluarga, selain merugikan negara yang berkemungkinan kehilangan bakat.

“Lebih malang anak-anak ini mendapat akses terhad kepada sistem persekolahan kebangsaan antaranya tidak mendapat skim pinjaman buku teks, suntikan vaksin percuma dan penjagaan kesihatan hanya sehingga 12 tahun," katanya.

Berkongsi pendapat yang sama ialah Pengasas Bersama Kumpulan Sokongan Pasangan Asing, R Bina yang mahu kerajaan lebih telus dalam proses permohonan kewarganegaraan dengan menjelaskan butiran serta sebab jika sesuatu permohonan itu tidak diluluskan.

Menurut beliau, kelulusan permohonan kewarganegaraan Malaysia ketika ini mengambil masa terlalu lama iaitu antara dua hingga 10 tahun sehingga menyebabkan sesetengah keluarga berputus asa dengan perkahwinan mereka dan mengalami penderitaan selain turut memberi kesan kepada anak-anak.

“Seorang lelaki di Malaysia boleh menurunkan kewarganegaraannya kepada anak-anaknya yang dilahirkan di luar negara dengan mudah iaitu tiga minggu sahaja permohonan mereka diluluskan.

“Malangnya, seorang wanita Malaysia tidak boleh berbuat demikian sebaliknya perlu memohon tetapi dalam kebanyakan kes permohonan mereka ditolak sehingga memakan masa bertahun-tahun tanpa penjelasan, lantas menuntut ibu memperbaharui visa dari tahun ke tahun bagi memastikan anak mereka terus menetap di tanah air sendiri,” katanya.

Menurut Bina, penafian hak kesaksamaan gender dalam perundangan negara menjadikan Malaysia antara 25 negara di dunia yang menafikan hak wanita untuk mendapatkan taraf kerakyatan bagi anak mereka. - Bernama