Kerajaan diminta sedia peruntukan khas tangani flat awam uzur

Mohd Jafni (dua,kanan) meninjau keadaan flat TUTA, pada Ahad.
Mohd Jafni (dua,kanan) meninjau keadaan flat TUTA, pada Ahad.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan perlu menyediakan peruntukan khas bagi menangani pelbagai isu melibatkan flat-flat awam di seluruh negara, termasuklah di Johor yang kebanyakannya berusia lebih 40 tahun dan berada dalam keadaan ‘uzur’ ketika ini.

Menurut Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, kebanyakan flat berkenaan dikenalpasti berada dalam keadaan kritikal dan berdepan dengan pelbagai isu melibatkan kerosakan, kebersihan dan penyelenggaraan.

Katanya, kesemua isu berkenaan didapati berpunca daripada sistem pengurusan bangunan yang tidak cekap selain tidak ada Jawatankuasa Penduduk dan Perbadanan Pengurusan (MC) yang ditubuhkan hingga menyebabkan penduduk gagal membuat bayaran bagi tujuan penyelenggaraan dan kebersihan di flat berkenaan.

“Saya rasa di Johor ini pun hampir 70 peratus MC yang mengurus dan menyelenggara flat awam ini berdepan dengan isu pungutan fee (yuran) hanya 20 hingga 30 peratus, jadi mereka tak boleh run the community.

“Maknanya, apa yang berlaku, dia ada yang flat awam tak ada wakil penduduk jadi tak ada orang uruskan... jadi masing-masing uruskan sendiri.

“Sebab itu di peringkat persekutuan mesti allocationkan bajet kahs untuk semua flat awam yang berusia 40 tahun ni khasnya sebab di sini (TUTA) ada yang berusia 30, 40 tahun dan keadaannya sangat kritikal,” katanya.

Mohd Jafni berkata demikian ketika hadir sempena program Aktiviti Plogging Johor Bersih anjuran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) di Blok 13, Flat Taman Unku Tun Aminah (TUTA), Skudai, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd Hafiz Ahmad dan ADUN Skudai, Marina Ibrahim.

Terdahulu Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar telah menzahirkan perasaan kecewa baginda terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan flat kos rendah di negeri ini.

Baginda bertitah, kebanyakan flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.

Susulan itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memperuntukkan sebanyak RM26.3 juta yang secara keseluruhannya bagi kerja-kerja menyelenggara dan menaik taraf.

Mengulas mengenai binaan tambahan yang dibina di flat berkenaan, Jafni berkata, buat masa ini pihaknya akan menumpukkan terhadap kerja-kerja penyelenggaraan dan kebersihan terlebih dahulu.

“Flat ini dah berusia lebih 40 tahun, dan kita dapati binaan tambahan ini memang telah melanggar syarat dan kalau ikutkan kita akan robohkan.

“Tapi macam sekarang kita tumpukan dahulu kerja-kerjaa penyelenggaraan dan kalau binaan tambahan itu menganggu, kita akan ambil tindakan,” katanya.