Tingkat promosi Tahun Melawat Melaka

Adly (dua,kanan) dan Muhammad Jailani (kanan) ketika menyampaikan cenderahati kepada pelancong pada majlis sambutan kedatangan pelancong di LTAM, Batu Berendam, di sini, hari ini.
Adly (dua,kanan) dan Muhammad Jailani (kanan) ketika menyampaikan cenderahati kepada pelancong pada majlis sambutan kedatangan pelancong di LTAM, Batu Berendam, di sini, hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri akan terus rancak memperluaskan promosi Tahun Melawat Melaka dengan memasang lebih banyak papan iklan di lokasi strategik.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ia sebagai salah satu strategi dalam usaha menarik lebih ramai pelancong sekali gus mencapai sasaran kehadiran 20 juta pelancong ke Melaka pada tahun ini.

Menurutnya, selain promosi dan program yang tertumpu di pintu masuk pelancong seperti Tol Ayer Keroh, Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) dan Terminal Jeti Antarabangsa Sungai Melaka, papan iklan mampu menjadi medium daya tarikan kedatangan pelancong selain penganjuran program-program mega setiap bulan sepanjang tahun.

Adly (empat kanan) mempromosikan Tahun Melawat Melaka di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LATM).
Adly (empat kanan) mempromosikan Tahun Melawat Melaka di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LATM).

Malah katanya, kerja-kerja penambahan papan iklan akan bermula bulan ini dengan mengenal pasti lokasi sesuai bagi memaparkan produk-produk pelancongan negeri dan pembinaan dua tugu yang akan memperhebatkan promosi Tahun Melawat Melaka.

"Walaupun baharu lapan bulan kita mentadbir kerajaan negeri, namun di bawah exco pelancongan dan beberapa komponen pelancongan lain, kita telah mula merancakkan sektor pelancongan sejak Ogos tahun lalu.

"Apa yang dilakukan Melaka ini sebagai persediaan awal sebelum melangkah ke Tahun Melawat Malaysia 2020, dan dalam tempoh itu juga kita telah mempromosikan Melaka di luar negara, dengan pemain industri pelancongan, berjumpa peniaga, pengusaha dan sebagainya," katanya.

Adly berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan kedatangan pelancong di LTAM, Batu Berendam, di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Pengurus Besar Tourism Melaka, Zairi Suboh.

Dalam perkembangan lain, Adly berkata, sektor pelancongan pendidikan akan diperluaskan dan dirancang untuk dimasukkan dalam kalendar pelancongan Melaka selain sektor pelancongan perubatan dan sukan yang kini terus memperlihatkan perkembangan positif.

Menurutnya, walaupun pendidikan merupakan sektor pelancong baharu namun yakin dapat menarik jumlah pelancong yang ramai memandangkan di negeri ini terdapat 23 institusi pengajian tinggi yang akan menyumbang kehadiran sama ada pelancong domestik mahupun antarabangsa.

Katanya, usaha yang kerajaan negeri lakukan juga akan dapat memberikan limpahan rezeki kepada penduduk tempatan.

"Kita melihat banyak institusi pendidikan yang boleh menarik pelajar dan menarik ramai ahli keluarga mereka sama ada domestik atau luar untuk ke Melaka selain pelan jangka masa panjang untuk mewujudkan pendidikan antarabangsa di sini," katanya.