Tahun Melawat Negeri Sembilan dicadang selaras TMM 2025

Aminuddin (empat kiri) ketika menyampaikan sumbangan kepada anak yatim terlibat.
Aminuddin (empat kiri) ketika menyampaikan sumbangan kepada anak yatim terlibat.
A
A
A

PORT DICKSON - Kerajaan Negeri Sembilan bercadang untuk menyelaraskan perlaksanaan Tahun Melawat Negeri Sembilan dengan Tahun Melawat Malaysia 2025 supaya impaknya lebih besar kepada industri pelancongan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia berikutan ketika ini pihaknya perlu memberi tumpuan terhadap projek menaik taraf dan baik pulih infrastruktur di negeri ini.

"Kita belum ada perincian (Tahun Melawat Negeri Sembilan) lagi sebab kita tahu banyak perkara baru dibuka, jadi kita juga ingin melihat infra yang kita ada selepas menghadapi banjir, selepas Covid-19.

"Kalau boleh nak sekalikan dengan Tahun Melawat Malaysia supaya ia betul-betul semarakan lagi. Bagi saya itu akan memberikan impak yang lebih besar kepada prlancongan dan menyeluruh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Street Iftar anjuran Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di Laluan Jalan Pasar, di sini pada Ahad.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berpandangan ia boleh diadakan pada setiap hujung minggu pada bulan Ramadan tahun hadapan.

"Program ini dapat sambutan yang amat menggalakkan dan kemungkinan ia akan lebih menarik tahun depan dengan mengadakan jamuan secara 'potluck' pula," katanya.

Dalam program sama Aminuddin turut menyampaikan sumbangan kepada 44 anak yatim,ibu tunggal, balu, duda dan kakitangan MPPD.