Bapa mengaku salah dera anak

Tertuduh (tengah) diiringi anggota polis sebaik tiba di Mahkamah Sesyen Alor Gajah tadi.
Tertuduh (tengah) diiringi anggota polis sebaik tiba di Mahkamah Sesyen Alor Gajah tadi.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang pemetik cili mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah di sini hari ini atas tuduhan mendera anak perempuannya berusia 10 tahun menggunakan tali pinggang pada September lalu.

Lelaki berusia 42 tahun itu membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Ahmad Sazali.

Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada tiga orang anak itu dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap mangsa dengan cara memukul di atas bahagian kening kirinya menggunakan tali pinggang.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Pisang Mas Jaya Gadek di sini pada jam 12.30 tengah malam 21 September lalu lalu.

Mahkamah menetapkan 5 November ini sebagai tarikh jatuh hukum sementara menunggu laporan perubatan penuh untuk mengetahui tahap kecederaan mangsa.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Zainal menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak boleh mendekati anak kandungnya itu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan dikurangkan antara RM2,000 hingga RM3,000 selain terpaksa menanggung isteri yang sedang berpantang selepas bersalin anak ketiganya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mendekati mangsa sehingga dijatuhkan hukuman.

Artikel Berkaitan: