Peguam pejuang status orang tanpa kerakyatan menang Anugerah Nansen

Ashurov berharap usaha kerasnya di Kyrgyzstan boleh dijadikan contoh pihak lain untuk menamatkan status 'hantu' di seluruh dunia.
Ashurov berharap usaha kerasnya di Kyrgyzstan boleh dijadikan contoh pihak lain untuk menamatkan status 'hantu' di seluruh dunia.
A
A
A

GENEVA - Seorang peguam hak asasi manusia yang berjuang untuk menamatkan status 'hantu' penduduk di Kyrgyzstan dinamakan sebagai pemenang hadiah berprestij Pertubuhan PBB bagi pelarian (UNHCR), Anugerah Nansen semalam.

Agensi PBB tersebut mengiktiraf usaha keras Azizbek Ashurov kerana membantu Kyrgyzstan menjadi negara pertama menamatkan status orang tanpa kerakyatan menerusi pertubuhannya, Ferghana Valley Lawyers Without Borders (FVLWB).

"Kisah beliau adalah satu bentuk ketabahan dan ketegasan individu.

"Komitmen ditunjukkan Ashurov adalah contoh yang kuat untuk memberi inspirasi dan menggerakkan tindakan kolektif," kata Ketua UNCHR, Filippo Grandi.

Menurut UNHCR, Ashurov bersama pertubuhannya telah memberi bantuan kepada lebih 10,000 penduduk di Bishkek untuk mendapatkan hak kerakyatan selepas pembubaran Kesatuan Soviet.

"Saya berasa sangat terharu. Jutaan orang di seluruh dunia hidup dengan kesan teruk akibat status tanpa kerakyatan. Hasil usaha kami di Kyrgyzstan boleh dijadikan contoh. Kita boleh tamatkan status tersebut. Ia tidak mustahil," kata Ashurov.

Usaha beliau juga telah memberi peluang pendidikan kepada kira-kira 2,000 kanak-kanak dan masa depan untuk mereka bebas bergerak, berkahwin serta bekerja.

Difahamkan Ashurov didorong oleh kesukaran keluarganya untuk mendapatkan hak kerakyatan di Bishkek selepas berhijrah dari Uzbekistan.

Artikel Berkaitan:

Ketika era Soviet tidak ada sempadan dalaman diwujudkan dan individu hanya bergerak di seluruh Asia Tengah dengan menggunakan dokumentasi dalaman.

Tetapi selepas Kesatuan Soviet dibubarkan pada 1991 ramai individu terkandas di seluruh sempadan baharu yang baru ditubuhkan dengan hanya memegang pasport Soviet yang tidak lagi sah digunakan.

Keadaan itu menyebabkan ratusan ribu memegang status 'hantu' di rantau terbabit termasuk di Kyrgyzstan. - AFP