Malaysia kekal Ahli Majlis ICAO: Anthony Loke

Anthony Loke -Foto Bernama
Anthony Loke -Foto Bernama
A
A
A

KANADA – Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan sebagai ahli majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di bawah Kategori III bagi penggal 2019-2022.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Loke Siew Fook berkata, Malaysia berada di tangga ke-11 selepas menerima 143 undi pada mesyuarat agung ICAO ke-40 yang berlangsung di Montreal, Kanada pada 28 September lalu hingga 4 Oktober ini.

“Semasa undian yang diadakan semalam, Malaysia berjaya mempertahankan kerusi Ahli Majlis ICAO di bawah Kategori III untuk penggal 2019 hingga 2022.

“Malaysia berjaya mengekalkan keahlian dalam majlis ini selama lima penggal berturut-turut bermula tahun 2007 sehingga tahun 2022. Selain Malaysia, Korea Selatan turut terpilih daripada rantau Asia Pasifik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, Kategori III adalah negara-negara yang dipilih untuk memastikan keseluruhan kedudukan geografi dunia mempunyai wakil dalam Majlis ICAO.

“Hasil pengundian Malaysia telah memperbaiki kedudukannya dalam Kategori III iaitu dari tangga ke-13 ke tangga ke-11 dengan pertambahan sebanyak 14 undi berbanding jumlah yang diperolehi pada perhimpunan 2016. Secara keseluruhannya, Malaysia mendapat sokongan sebanyak 143 undi iaitu 81 peratus daripada jumlah negara yang mengundi.

“Jumlah undi ini adalah merupakan undian tertinggi yang diperolehi Malaysia dan merupakan pencapaian terbaik semenjak Malaysia menganggotai Ahli Majlis ICAO,” katanya.

Tambah Anthony, Malaysia komited untuk terus memberikan komitmen berterusan kepada ICAO untuk mempertahan dan menegakkan aspek-aspek keselamatan penerbangan awam, inovasi dan kemapanan penerbangan global menerusi pembangunan infrastruktur strategik bersama-sama dengan pembinaan keupayaan institusi untuk memenuhi keperluan generasi profesional penerbangan akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa yang sama Malaysia akan terus memastikan kepentingan sektor penerbangan awam negara sentiasa diambil kira dalam proses penetapan keputusan dan penentuan piawaian penerbangan awam antarabangsa dengan terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan mengenai perkara-perkara tersebut,” katanya.

Selain Malaysia negara-negara lain yang turut menduduki kerusi Ahli Majlis ICAO bagi kategori yang sama adalah Costa Rica, Cote d'Ivoire, Dominican Republic, Equatorial Guinea, Greece, Paraguay, Peru, Republik Korea, Sudan, Tunisia, Emiriah Arab Bersatu dan Zambia.