Keputusan PRK Kinabatangan, Lamag cermin keyakinan berterusan rakyat - Anwar

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag mencerminkan keyakinan berterusan rakyat terhadap usaha, khidmat serta komitmen yang ditunjukkan di peringkat akar umbi.

Menerusi catatan di laman Facebook hari ini, Anwar berkata, kemenangan itu wajar ditanggapi dengan sikap tanggungjawab sebagai amanah rakyat yang menuntut kepemimpinan yang berintegriti, tahap khidmat yang berkesan serta keupayaan menyantuni keperluan masyarakat secara inklusif dan berterusan.

"Kerajaan Madani akan terus menjunjung semangat muafakat dan kebersamaan demi memastikan pembangunan di Sabah dapat dimantapkan, kesejahteraan rakyat terus dipelihara dan agenda yang madani dapat dijelmakan dengan tekad secara bersama,” kata beliau.

Perdana Menteri turut merakamkan ucapan tahniah kepada BN atas kejayaan mempertahankan kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN berkenaan serta wakil rakyat baharu kawasan itu Mohd Kurniawan Naim Moktar dan Mohd Ismail Ayob, atas kemenangan mereka.

Beliau turut mendoakan agar legasi khidmat dan kepimpinan wakil rakyat terdahulu Allahyarham Bung Moktar Radin terus dipelihara dan diteruskan sebaiknya.

Pada PRK Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim menang bergaya dengan majoriti besar 14,214 undi menewaskan dua pencabarnya, iaitu Datuk Saddi Abdul Rahman daripada Parti Warisan dan calon Bebas Goldam Hamid.

Di DUN Lamag, Mohd Ismail memperoleh 5,681 majoriti undi menewaskan Mazliwati Abdul Malek daripada Warisan.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya Bung Moktar, 66, pada 5 Dis tahun lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemenangan BN pada PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag mencerminkan keyakinan rakyat terhadap khidmat di akar umbi
  • Anwar menanggapi kemenangan itu sebagai amanah rakyat yang menuntut kepemimpinan berintegriti dan khidmat berkesan
  • Kerajaan Madani akan meningkatkan pembangunan Sabah dan memelihara kesejahteraan rakyat
  • Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada BN dan wakil rakyat baharu, Mohd Kurniawan Naim Moktar dan Mohd Ismail Ayob, atas kemenangan mereka
  • Mohd Kurniawan Naim dan Mohd Ismail Ayob menang dalam PRK dengan majoriti undi yang besar, meneruskan legasi Allahyarham Bung Moktar Radin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!