Pelajar terlibat dadah perlu jalani program pemulihan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta supaya tindakan mengadakan saringan penyalahgunaan dadah terhadap pelajar sekolah turut diisusuli dengan program pemulihan dan pencegahan.

Presidennya, Kamarozaman Abdul Razak berkata, program pemulihan dan pencegahan itu perlu melibatkan mereka yang bergaul dengan pelajar berkenaan di luar waktu sekolah termasuk keluarga dan rakan sebaya, kerana pelajar berkenaan memperoleh dadah dari luar kawasan sekolah.

“Pihak berkuasa perlu memainkan peranan bukan setakat dengan melakukan saringan tetapi juga terbabit dengan lebih aktif dalam usaha pemulihan dan pencegahan terhadap pelajar berkenaan.

“Sekolah telah melakukan pelbagai program berkaitan penyalahgunaan dadah tetapi masyarakat perlu memahami kita hanya boleh melakukan tindakan di dalam sekolah. Di luar sekolah, kita tidak boleh nak kawal,” katanya ketika dihubungi.

Sabtu lepas, dilaporkan seramai 1,709 pelajar sekolah menengah daripada 41,741 yang disaring oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di 178 kawasan berisiko tinggi didapati positif dadah setakat Oktober lalu.

Turut dilaporkan kebanyakan pelajar itu menggunakan dadah jenis methamphetamine kerana ia lebih murah dan senang didapati.

Kamarozaman turut berpandangan semua pihak perlu mencari jalan bagaimana proses pemulihan dan pencegahan selepas ujian saringan penyalahgunaan dadah dapat dilakukan terhadap pelajar berkenaan kerana pihak sekolah kurang kepakaran untuk melaksanakannya.

Beliau turut berkata, kerjasama antara organisasi seperti AADK dan Pertubuhan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah langkah yang baik dalam memulakan usaha pemulihan dan pencegahan berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: