302 tokan dadah dicekup di empat negeri

Mohd Khalil Kader Mohd
Mohd Khalil Kader Mohd
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 302 tokan dadah ditahan dalam Op Damn Tokan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di empat negeri baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, kesemua tokan dadah itu ditahan di Kelantan, Pahang, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

“Kita turut merampas pelbagai jenis dadah yang bernilai RM354,943 dalam operasi tersebut,” katanya pada program Bicara Pengguna mengenai isu trend dadah kini cegah atau parah yang disiarkan di RTM kelmarin.

Menurutnya, operasi ini dinamakan Damn Tokan kerana polis mahu memberi tumpuan untuk menyekat permintaan dadah dengan memutuskan rangkaian bekalan di peringkat pengedar dadah runcit kecil-kecilan.

Mohd Khalil berkata, pihaknya perlu menyekat penagih dadah mendapatkan tawaran dadah daripada pengedar dadah kecil-kecilan.

“Kita juga perlu menentang habis-habisan ‘drug trafficking’ dan orang ramai perlu memberi maklumat kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mengenal pasti 141 port dadah yang aktif semula.

“Sebelum ini kita mengadakan operasi khas dalam usaha menghapuskan 245 port dadah dan menangkap hampir 8,000 orang dengan dibantu Agensi Anti Dadah Kebangsaan tapi pemantauan terbaru kita dapati 141 port dadah aktif semula.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah atau jenayah narkotik boleh salurkan kepada JSJN melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222,” katanya.