Hanya cadangan diberikan projek, bukan ketetapan: Abu Bakar

No Image Caption
A
A
A

BANTING - Mana-mana pihak tidak perlu mempolemikkan cadangan Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Rashid Abdul Rahman agar ketua-ketua bahagian dan cawangan parti itu diberikan projek kerajaan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya berkata, kenyataan tersebut hanyalah pandangan yang dilontarkan Rashid dan bukannya keputusan atau ketetapan yang dipersetujui sebulat suara oleh parti itu.

"Bersatu merupakan parti yang mengamalkan prinsip terbuka, menerima pelbagai pandangan daripada semua pihak. Semua pihak bebas mengemukakan sebarang cadangan yang mereka rasakan perlu.

"Bagaimanapun, tidak semestinya cadangan yang dibuat itu diterima serta diluluskan oleh parti sebagai satu ketetapan. Saya fikir tidak perlu perbesar-besarkan apa yang dinyatakan Tan Sri Rashid itu," katanya.

Abu Bakar Yahya menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah kepada salah seorang hadirin yang menghadiri majlis penutup Karnival Usahawan Seribu Seri 2018 dan sambutan tahun baru 2019 di Pantai Morib, Banting, malam tadi.
Abu Bakar Yahya menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah kepada salah seorang hadirin yang menghadiri majlis penutup Karnival Usahawan Seribu Seri 2018 dan sambutan tahun baru 2019 di Pantai Morib, Banting, malam tadi.

Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Rashid semasa menyampaikan ucapan penggulungan sempena perhimpunan agung ke-2 Bersatu Ahad lalu yang mencadangkan peranan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dikembalikan supaya sistem itu memanfaatkan ketua cawangan dan bahagian parti selain diberikan semula kepada masyarakat setempat.

Menurutnya kaedah itu berupaya memastikan ketua bahagian dan cawangan mempunyai peruntukan mencukupi untuk menjalankan program di kawasan mereka sekaligus meraih sokongan pengundi.

Dalam perkembangan lain, Abu Bakar turut menegaskan pendiriannya yang menyokong penuh cadangan pemilihan jawatan kepimpinan Bersatu mengikut sistem satu ahli satu undi daripada sistem undi perwakilan.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Katanya sistem satu ahli satu undi diyakini lebih telus, demokratik sekaligus menggalakan mana-mana pemimpin parti itu yang ingin bertanding lebih bekerja keras dan menunjukkan disiplin serta kemampuan mereka dalam kepimpinan.

"Ahli-ahli yang mengangkat pemimpin yang mereka rasakan layak. Jadi adalah lebih baik diserahkan kepada ahli sahaja hak untuk menentukan kepimpinan parti," ujarnya.

Sebelum itu, Abu Bakar hadir memeriahkan majlis sambutan ambang tahun baru 2019 sempena penutup Karnival Usahawan Seribu Seri 2018 anjuran Sikandi Bersatu bersama rakyat di Pantai Morib di sini malam tadi.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Adun Morib, Hasnul Baharuddin dan Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Junaidah Kiting.