Pelantikan Rafizi ikut perlembagaan parti

Azhar (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang wakil peserta pada Karnival Warisan dan Budaya Pelbagai Etnik Parlimen Sungai Besar di Dataran Tonggak 10, di sini.
Azhar (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang wakil peserta pada Karnival Warisan dan Budaya Pelbagai Etnik Parlimen Sungai Besar di Dataran Tonggak 10, di sini.
A
A
A
SABAK BERNAM - Pelantikan semula Rafizi Ramli sebagai Naib Presiden PKR mengikut perlembagaan parti itu yang termaktub sejak di era Parti Keadilan Nasional.

Ketua Cabang PKR Sungai Besar, Azhar Achil berkata, perkara itu tidak seharusnya diperbesarkan kerana menjadi tanggungjawab presiden parti itu melantik mana-mana individu atau pun sesiapa sahaja dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

"PKR Cabang Sungai Besar mengambil pendekatan menghormati dan menyokong penuh keputusan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pelantikan yang diumumkan beliau baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Warisan dan Budaya Pelbagai Etnik Parlimen Sungai Besar di Dataran Tonggak 10, di sini, malam tadi.

Azhar berkata, beliau yakin gandingan semula Mohamed Azmin Ali selaku timbalan presiden dan Rafizi sebagai naib presiden mampu memberi kelebihan kepada parti itu pada masa depan.

"Mohamed Azmin pada kongres Nasional PKR ke-13 di Shah Alam November lalu menyatakan beliau boleh bekerja dengan sesiapa pun demi memastikan reformasi yang didokong selama hampir 20 tahun ini dapat digembleng bersama demi manfaat rakyat.

"Saya tidak melihat apa pun permasalahan timbul antara Mohamed Azmin dan Rafizi," katanya.

Mengulas mengenai usul seorang perwakilan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2 mencadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri sehingga PRU15, Azhar berkata, beliau yakin Mahathir berpegang pada janji.

"Majlis Presiden PH sebelum menghadapi PRU14 lalu telah pun menetapkan antara manifesto ialah jawatan Mahathir sebagai perdana menteri hanya untuk tempoh dua tahun.
Artikel Berkaitan:


"Malah, janji ini juga diulangi Mahathir dalam Persidangan Agung Tahunan Bersatu yang baru berakhir minggu lalu," katanya.