Dr Mahathir pertahankan minyak sawit semasa berucap di PBB

Dr Mahathir menyampaikan ucapan pada Debat Umum sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi Ke-74 di Ibu Pejabat PBB pada Jumaat.
 -Foto Bernama
Dr Mahathir menyampaikan ucapan pada Debat Umum sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Sesi Ke-74 di Ibu Pejabat PBB pada Jumaat.
 -Foto Bernama
A
A
A

NEW YORK - Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan bantahan Malaysia berhubung cubaan untuk mengharamkan import minyak sawit di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menyatakan ia merupakan kes yang jelas untuk menafikan perdagangan bebas.

Berucap pada Debat Umum Sesi Ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini Jumaat, Perdana Menteri Malaysia itu menegaskan pendiriannya terhadap langkah seumpama itu, menyatakan minyak sawit masih penyumbang besar terhadap ekonomi negara.

"Tiada bukti yang ia berbahaya. Kami merayu kepada budi bicara golongan kaya untuk tidak memiskinkan kami, untuk tidak menghalang ratusan ribu pekerja kami daripada menyara kehidupan. Anda akan berbuat kebajikan dengan menggunakan minyak sawit," katanya ketika beliau menyentuh mengenai pengharaman import minyak sawit yang dicadangkan oleh negara Eropah.

Beliau berpandangan bahawa berikutan tidak mampu mengekalkan daya saing minyak makan mereka sendiri, kempen dilancarkan untuk mengharamkan minyak sawit, dengan mendakwa minyak sawit berbahaya kepada kesihatan, memusnahkan habitat monyet hidung panjang, mengurangkan penyerapan karbon dioksida dan lain-lain lagi.

Menegaskan bahawa Malaysia juga prihatin terhadap alam sekitar sepertimana masyarakat Eropah, beliau berkata liputan kawasan hutan negara ketika ini sebanyak 55.3 peratus, melebihi ikrar yang dibuat pada Sidang Kemuncak Bumi Rio pada 1992 untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah yang diliputi hutan.

Mengenai perang perdagangan, beliau berkata ia adalah satu pembaziran dan akan mengekang potensi setiap orang untuk menjadi kaya.

Berhubung sekatan yang dikenakan terhadap negara tertentu, Dr Mahathir berkata tidak diketahui di bawah undang-undang mana sekatan seumpama itu dikenakan.

"Ia dilihat sebagai keistimewaan pihak yang kaya dan berkuasa. Jika kita mahu mengenakan sekatan, kita perlu ada undang-undang untuk mentadbirnya.

Artikel Berkaitan:

"Hakikatnya adalah apabila sekatan dikenakan ke atas sebuah negara, negara lain turut terkena sekatan itu. Malaysia dan banyak negara lain kehilangan pasaran besar apabila sekatan dikenakan ke atas Iran," kata perdana menteri.

Beliau percaya semua negara di dunia ingin mengecapi kemakmuran dan dibenarkan membangunkan negara mereka sendiri, tetapi mereka dihalang daripada berbuat

demikian.

Disebalik banyak cakap-cakap mengenai perdagangan bebas, beliau berkata peraturan baharu yang diperkenalkan pada setiap masa telah merencatkan pembangunan di negara-negara miskin.

"Ini kerana cadangan bagi peraturan dan kawal selia dibuat oleh pihak yang kaya, sering kali secara rahsia. Pihak yang miskin secara praktikalnya dipaksa untuk menerimanya,” katanya sambil memberikan contoh Perkongsian Trans Pasifik.

"Ia dibuat di Washington dengan input daripada perniagaan besar mereka. Dalam perjanjian itu, kerajaan negara-negara kecil akan dipaksa untuk membayar pampasan wang pada jumlah besar kepada syarikat besar asing, sekiranya keputusan mereka menjejaskan keuntungan syarikat besar berkenaan, termasuk keuntungan di masa depan," katanya.

Nasib baik, Dr Mahathir berkata, kini negara berkuasa yang menyediakan perjanjian itu telah menolaknya.

"Dengan mengecualikan negara ini, perjanjian itu telah menjadi lebih boleh diterima. Tetapi perjanjian itu masih menetapkan syarat untuk perdagangan - yang menafikan perdagangan bebas. Kami diberitahu bahawa kami perlu memansuhkan duti import, atau mengurangkannya supaya produk asing boleh mengalahkan industri kami yang kecil.

"Kami dipaksa untuk hanya mengeksport bahan mentah. Macam mana kami hendak menjadi negara perindustrian dan mewujudkan kerja untuk rakyat kami?," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau percaya dengan kapitalisme tetapi kapitalisme telah menjadi tidak keruan.

"Mereka kini bercakap mengenai meraih bertrilion. Adalah bahaya bagi seorang individu atau sebuah syarikat untuk mempunyai begitu banyak wang. Ia boleh mempengaruhi perkara lain. Ia boleh beli kuasa. Sekalipun undang-undang anti-amanah. Kami melihat ini dalam Perkongsian Trans Pasifik - TPP, apabila syarikat-syarikat kaya memberikan diri mereka sendiri kuasa untuk menyaman kerajaan.

"Terma perjanjian dirumuskan oleh mereka. Dan mereka semua bukan seperti Bill Gates. Kebanyakannya cenderung untuk mengeksploitasi kuasa mereka dengan adanya wang," katanya. - Bernama