Tarian tradisional Malaysia pukau penonton di Seoul

Para pelajar UPSI yang mewakili Malaysia pada pertandingan di Festival Seni Tari Dunia Cheonnan 2019 di Korea Selatan sedang bersedia untuk mempersembahkan tarian tempurung pada Pertandingan 'Street Parade Dance' di sini. - Foto Bernama
Para pelajar UPSI yang mewakili Malaysia pada pertandingan di Festival Seni Tari Dunia Cheonnan 2019 di Korea Selatan sedang bersedia untuk mempersembahkan tarian tempurung pada Pertandingan 'Street Parade Dance' di sini. - Foto Bernama
A
A
A

SEOUL - Persembahan tarian tradisional Malaysia telah berjaya menarik perhatian apabila mendapat tepukan gemuruh penonton pada pembukaan rasmi Pertandingan Tari Sedunia Cheonnan, di sini.

Mereka terpikat dengan keindahan dan kelembutan langkah tarian 'Lenggang Lambung Sayang' dan 'Joget Layang Lambung' yang dipersembahkan 26 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mewakili Malaysia.

Pensyarah pengiring pasukan Malaysia, Dr Colleen Wong, yang juga Ketua Jabatan Seni Persembahan UPSI, berkata orang ramai mengemukakan banyak pertanyaan tentang persembahan Malaysia itu.

"Mereka tidak tahu bahawa Malaysia mempunyai khazanah yang begitu indah dan ingin lebih banyak pertunjukan diadakan di Korea Selatan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pertandingan itu unik dan sangat menarik konsepnya apabila 17 negara peserta dikehendaki membuat persembahan di tempat awam selain di atas pentas untuk memasyarakatkan seni tari.

Pasukan Malaysia sendiri mengadakan persembahan di Muzium Cheonnan Heuntaryeong dan di Seong Hwan Ehwa Market, masing-masing dengan persembahan selama 10 minit.

"Kita beruntung kerana kedua-dua lokasi itu memang tumpuan orang ramai dan mereka mengakui menikmati persembahan kita," kata Wong.

Pasukan Malaysia yang berbekalkan lima jenis tarian mengadakan persembahan khusus untuk peringkat separuh akhir Pertandingan Tarian Antarabangsa di Samgeori Park di Cheonnan.

Artikel Berkaitan:

Pasukan negara mengambil bahagian dalam pertandingan ‘Street Dance' di Cheonnan.

Wong berkata, pasukannya mempertaruhkan tarian tradisional Bidayuh, Sarawak 'Sigar Nyikuh Jojak' untuk merebut kejuaraan itu.

Tarian itu dipersembahkan selama 10 minit pada pertandingan separuh akhir tengah hari ini dan jika terpilih akan dipersembahkan sekali lagi di pertandingan peringkat akhir', Ahad ini.

Bagi komuniti tarian antarabangsa dan para pelajar terlibat, Festival Seni Tari Sedunia Cheonnan merupakan antara 10 festival terbaik dunia dan menjadi acara tahunan yang dianjurkan Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan melibatkan lebih 5,500 peserta dari dalam dan luar negara. - Bernama