Keputusan Inkues, semua harus bertenang

Selepas lebih sebulan, hari ini segalanya akan terungkai.
Selepas lebih sebulan, hari ini segalanya akan terungkai.
A
A
A

SELEPAS lebih sebulan proses mencari punca kematian anggota bomba dan penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang tahun lalu, hari ini segalanya akan terungkai.

Bukan sekadar ahli keluarga, rakan sekerja Allahyarham, petugas media malah seluruh rakyat Malaysia menantikan keputusan yang bakal diumumkan. Semalam, Sinar Harian melalui slot Sinar Live menjemput peguam Adnan Seman untuk memberikan penerangan tentang tujuan dan bagaimana sesuatu proses inkues dijalankan.

Menurut Adnan, sesuatu keputusan inkues didokong oleh tiga perkara iaitu keputusan terbuka (open verdict), kemalangan (misadventure) ataupun kematian disebabkan oleh orang yang diketahui mahupun tidak diketahui.

Pastinya sandaran berat itu digalas oleh Koroner Mahkamah Sesyen Shah Alam, Rofiah Mohamad.

Sementara itu, bapa Allahyarham terharu dengan sokongan moral rakyat Malaysia yang ditunjukkan kepada mereka sehingga hari ini.

Mohd Kassim Abdul Hamid, 63, berkata, beliau sekeluarga amat menghargai sokongan tersebut dan mengharapkan doa seluruh rakyat Malaysia agar keadilan buat anak ketiganya itu ditegakkan.

Katanya, sejak beberapa hari lalu tidur mereka tidak lena kerana memikirkan keputusan hari ini.

Inkues menyiasat kematian Adib itu berlangsung selama 41 hari pendengaran dan menyaksikan 30 saksi termasuk saksi pakar memberi keterangan.

Artikel Berkaitan:

Adib, anggota Jabatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah semasa rusuhan di Seafield pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, dia menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Inkues itu diadakan untuk menentukan punca kematiannya susulan wujud dua versi bercanggah.

Satu versi mendakwa Allahyarham dilanggar oleh kenderaan, manakala satu lagi versi mengatakan dia dipukul oleh perusuh.

Walau apapun keputusannya, Sinar Harian yang mengikuti rapat kes itu mengharapkan keadilan ditegakkan dan semua pihak berlapang dada serta bertenang.

Al-Fatihah buatmu Adib, semoga rohmu tenang dan ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman.