PRK Tanjung Piai: SPR sedia pertimbang calon 18 tahun

AZHAR AZIZAN
AZHAR AZIZAN
A
A
A

SEREMBAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia mempertimbangkan jika ada calon berumur 18 tahun bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya sedia membenarkan pencalonan tersebut namun perlu mengadakan perbincangan dengan semua parti politik berhubung perkara berkenaan terlebih dahulu.

"Saya akan adakan sesi libat urus secara bipartisan (melibatkan dua parti) tidak lama lagi untuk membincangkan perkara itu.

"Kita akan aturkan tarikh yang sesuai untuk cari semua wakil parti pembangkang dan kerajaan untuk hadir dalam libat urus mengenai isu itu.

"(Buat masa ini) saya tak nampak lagi (sama ada benarkan atau tidak) tetapi selepas libat urus itu nanti baru kita boleh nampak," katanya.

Azhar Azizan semasa memberi ucapan perasmian program Voting Education Society di UiTM Seremban malam tadi.
Azhar Azizan semasa memberi ucapan perasmian program Voting Education Society di UiTM Seremban malam tadi.

Beliau berkata demikian dalam kepada pemberita selepas merasmikan Voting Education Society di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seremban di sini malam tadi.

Tambah Azhar Azizan, sekiranya perkara itu dipersetujui oleh semua parti politik, PRK Tanjung Piai bakal mencipta sejarah kerana membenarkan calon berusia 18 tahun bertanding buat kali pertama.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun berkata, mereka ini (berumur 18 tahun) masih belum boleh mengundi dalam PRK tersebut kerana tarikh penguatkuasaan peruntukan itu belum ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pada Julai lalu, Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pendaftaran mengundi automatik selain menurunkan umur bertanding dalam pilihan raya kepada 18 tahun.

PRK Tanjung Piai akan diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, akibat serangan jantung pada 21 September lalu.