Perak sedia pertimbang jual pasir kepada Pulau Pinang

Saarani dalam sidang akhbar pada Rabu.
Saarani dalam sidang akhbar pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak sedia mempertimbangkan penjualan pasir dan batu kepada negeri Pulau Pinang bagi projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) sekiranya mendapat permintaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu boleh dilaksanakan bergantung kepada keperluan dan tawaran harga yang diberikan.

Menurutnya, penjualan itu bukan sahaja bagi memenuhi keperluan negeri tersebut, malah boleh memberikan keuntungan kepada Perak.

"Kita kena lihat keperluannya. Sekarang ini pun Perak memang jual pasir. Jadi kalau ada permintaan dan kena dengan harga berpatutan, apa salahnya.

"Perkara ini boleh berikan keuntungan sebagai pendapatan baharu kepada Perak," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan lembu korban sumbangan syarikat berkaitan kerajaan negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor dilapor mengisytiharkan tidak akan menjual pasir dan batu kepada Pulau Pinang bagi projek tersebut kerana menyifatkan PSI hanya dilaksanakan untuk kepentingan orang kaya semata-mata.

Dalam laporan sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan akan meneruskan projek penambakan itu dengan pembinaan hanya satu daripada tiga pulau buatan yang dirancang di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas.