R&R Perasing tidak lagi terasing

Nordayana bersama bapanya tidak menang tangan melayan pengunjung yang mengerumuni gerai mereka di R&R Perasing, petang semalam.
Nordayana bersama bapanya tidak menang tangan melayan pengunjung yang mengerumuni gerai mereka di R&R Perasing, petang semalam.
A
A
A
KEMAMAN - Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) kini tidak lagi terasing apabila mencatat peningkatan pengunjung secara mendadak selepas insiden pemandu bas ekspres dipukul pekerja gerai di R&R Gambang.

Pertambahan pengunjung itu berikutan banyak bas ekspres berhenti di R&R Perasing yang sebelum ini dihimpit kerugian kerana hentian itu kurang disinggahi pengguna lebuh raya.

Peniaga gerai nasi ayam, Nordayana Sorfina Mohd Zuhairi, 20, berkata, berkat kesabaran kini nasib peniaga R&R Perasing sudah berubah.

“Alhamdulillah, sekarang saya dan peniaga lain dah boleh bernafas berbanding dulu kerana pengunjung bertambah dengan sangat ramai sejak banyak bas ekspres berhenti di sini.

“Waktu puncak bas ekspres berhenti di sini pada jam 1 tengah hari dan 1 pagi setiap hari, ada lebih 10 bas waktu itu,” katanya.

Nordayana berkata, akibat pertambahan pengunjung, sebanyak tiga gerai di R&R Perasing termasuk gerainya dibuka 24 jam sehari.

Deretan bas ekspres berhenti di R&R Perasing pada jam 1 pagi.
Deretan bas ekspres berhenti di R&R Perasing pada jam 1 pagi.



“Sebelum ini saya buka kedai jam 8 pagi dan tutup antara jam 10 atau 11 malam.

“Pendapatan saya sekarang pun naik kira-kira 80 peratus. Kalau dulu duit hasil jualan cuma cukup-cukup untuk bayar sewa gerai dan belanja makan keluarga saja,” katanya yang berniaga di hentian itu sejak tiga tahun lalu.

Artikel Berkaitan:


Peniaga gerai minuman, Nik Nasarul Anuar Nik Mohd Sudin, 19, berkata, pertambahan pengunjung itu membolehkan dia meraih hasil jualan antara RM500 hingga RM600 sehari terutama pada Khamis, Jumaat dan Sabtu.

“Kalau dulu nak dapat RM100 atau RM200 sehari pun susah tetapi sekarang kami dah boleh tarik nafas lega.

“Ramai juga penumpang bas yang turun di sini mengaku tak tahu pasal kewujudan R&R Perasing ini,” katanya.

Dalam kejadian 24 Disember lalu, seorang pemandu bas ekspres dipukul sekumpulan lima lelaki di R&R Gambag, arah timur, dipercayai kerana salah faham.

Video kejadian itu yang menunjukkan mangsa ditumbuk dan ditendang beberapa kali di bahagian badan oleh kumpulan lelaki terbabit tular di media sosial dan mengundang kecaman netizen.

Selepas kejadian itu, ramai pemandu bas dikatakan tidak lagi singgah di R&R Gambang dan memilih untuk berhenti di R&R Perasing.