Jho Low proksi Najib bagi isu pembelian IPP, jaminan IPIC
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low adalah proksi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menguruskan isu berkaitan pembelian pengeluar tenaga bebas (IPP) serta bon yang dijamin oleh International Petroleum Investment Co (IPIC).
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata, sepanjang proses pengumpulan dana bagi pembelian Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (TEHSB), perbualan antara beliau dan Jho Low sendiri serta nota maklumat daripada ahli perniagaan itu melalui emel kepadanya, membuatkan beliau yakin Najib mengetahui dan menyokong penuh usaha itu.
"Saya percaya walaupun idea asal untuk membeli syarikat TEHSB ini datangnya dari saya berdasarkan perbualan saya dengan Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Infrastructure Partners, Phillip K Haddad; Jho Low dan Datuk Seri Najib telah mengambil peluang untuk 'scale-up' (memperbesarkan) idea ini dengan membeli IPP-IPP lain di Malaysia seperti Genting dan YTL.
"Pembelian IPP-IPP lain ini akan mewujudkan alasan untuk nilai 'fund-raising' (pengumpulan dana) yang lebih tinggi. Saya ada terlibat dalam perbincangan awal dengan Genting dan YTL. Ini adalah salah satu justifikasi yang diberi oleh Jho Low apabila saya bertanya mengenai terbitan bon yang amat besar berbanding keperluan untuk membeli IPP TEHSB dan Genting Sanyen," katanya.
Saksi kesembilan yang juga saksi penting pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-14 perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.
Saksi itu berkata, Jho Low juga menyarankan 1MDB menerbitkan bon-bon US$1.75 bilion itu secara sekali gus dan dinamakan 'Project Magnolia'.
"Jho Low berkata kepada saya, 'do it quickly before IPIC changes their mind on the guarantee because of politics in Abu Dhabi' (buatlah dengan segera sebelum IPIC menukar fikiran mengenai jaminan itu disebabkan keadaan politik di Abu Dhabi) dan dia memberitahu saya secara peribadi sekitar Mei 2012.
"Saya juga percaya yang idea 'funding' (pembiayaan) melalui terbitan bon yang dijamin oleh IPIC dicetuskan oleh Jho Low dan Pengarah Goldman Sachs (Malaysia) Sdn Bhd, Tim Leissner dengan sokongan Datuk Seri Najib kerana tanpa sokongan beliau, amat mustahil untuk 1MDB mendapatkan jaminan dari pihak IPIC," katanya.
Terdahulu, Goldman Sachs selaku perunding kewangan bagi 1MDB mencadangkan bagi pembiayaan pembelian TEHSB ditanggung melalui pinjaman penyambung bersindiket daripada Maybank dan RHB berjumlah RM6.17 bilion serta selebihnya hasil daripada terbitan bon yang dijamin oleh IPIC sejumlah US$1.75 bilion yang diterbitkan oleh 1MDB Energy Limited (1MEL) iaitu syarikat yang terletak di pesisir Labuan milik 1MDB.
"Tim Leissner menjelaskan justifikasi harga RM10.6 bilion secara terperinci kepada ahli lembaga pengarah, namun ia terlalu teknikal dan rumit tetapi kami tidak mempersoalkan harga tersebut kerana percaya mereka telah mendapatkan pandangan Perdana Menteri melalui Jho Low kerana perolehan IPP ini melibatkan kos yang tinggi dan melibatkan dasar tenaga negara.
"Kedua-dua pinjaman dan terbitan bon ini menjadikan keseluruhan dana untuk proses pengambilalihan ini adalah lebih kurang RM11.4 bilion," katanya.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin depan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!