Penuntut Malaysia tidak terlibat demonstrasi di Jakarta

Ribuan mahasiswa berkumpul di hadapan bangunan DPR semalam bagi menyuarakan bantahan terhadap penggubalan RUU negara terbabit- Agensi
Ribuan mahasiswa berkumpul di hadapan bangunan DPR semalam bagi menyuarakan bantahan terhadap penggubalan RUU negara terbabit- Agensi
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada penuntut Malaysia terlibat dalam demonstrasi membabitkan ribuan mahasiswa daripada beberapa universiti di hadapan bangunan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Jakarta, semalam.

Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Jakarta (PKPMI Jakarta), Muhammad Faiz Shahifful Bahrim berkata, terdapat 122 penuntut Malaysia yang dalam pengajian di empat universiti di bandar raya tersebut.

Menurutnya, demonstrasi mahasiswa difahamkan bagi membantah hasrat kerajaan yang ingin menggubal beberapa rang undang-undang (RUU) di DPR.

“Saya sendiri tidak jelas mengenai perkara ini, namun mengikut kata rakan bilik yang juga penuntut Indonesia memaklumkan bahawa mahasiswa membantah RUU baharu termasuk pengurangan kuasa badan pencegahan rasuah (KPK) negara ini.

“Pada Isnin lalu ketika ke mahu ke kuliah di Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta, saya dapati sudah ramai mahasiswa yang berkumpul.

“Situasi sama berlaku pada Selasa dan mereka bergerak menuju ke bangunan DPR. Difahamkan demontrasi ini turut melibatkan beberapa universiti lain di sekitar Jakarta,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Muhammad Faiz berkata, demonstrasi dipercayai bertukar kecoh berdasarkan perkembangan semasa yang diperoleh melalui gambar dan video yang tular di media sosial.

Berikutan itu, katanya, pihaknya mengeluarkan memo kepada semua penuntut Malaysia di sana agar mengutamakan keselamatan dan tidak berada di kawasan demonstrasi atau terlibat secara langsung.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, memetik laporan portal The Jakarta Post, ribuan mahasiswa berkumpul di hadapan bangunan DPR semalam bagi menyuarakan bantahan terhadap penggubalan RUU negara terbabit.

Selain Jakarta, demonstrasi sama turut berlaku di beberapa negeri lain termasuk Sumatera Selatan, Malang di Jawa Timur dan Makassar di Sulawesi Selatan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Ribuan mahasiswa bantah rang undang-undang baharu