X

Kindly register in order to view this article
!

[DIKEMASKINI] Ribuan mahasiswa bantah rang undang-undang baharu

Demonstrasi turut diadakan di bandar lain seperti Yogyakarta dan Makassar. - Foto: Agensi
A
A

JAKARTA- [DIKEMASKINI] Ribuan mahasiswa di Indonesia menyertai protes di seluruh Indonesia semalam sebagai membantah Rancangan Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (RKUHP) atau kod jenayah baharu dan Rancangan Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (RKUHP) yang didakwa akan melemahkan agensi antirasuah di negara itu.

Demonstrasi itu turut diadakan di bandar lain seperti Yogyakarta di Jawa Tengah dan Makassar di Pulau Sulawesi untuk menolak rang undang-undang (RUU) tersebut.

Beberapa peserta protes juga nekad memanjat pagar Parlimen untuk menggantung kain rentang bagi menzahirkan bantahan mereka.

Jumaat lalu, Presiden Joko Widodo atau Jokowi menangguhkan undian terhadap rang undang-undang kontroversi terbabit yang dirancang pada hari ini.

Beliau turut memaklumkan 14 artikel masih perlu disemak sebelum dibahaskan Parlimen yang akan memulakan penggal baharu pada bulan depan.

"RUU itu ditangguhkan supaya kami dapat input yang lebih sesuai mengikut apa yang diinginkan rakyat," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen, Mulfachri Harahap memberitahu beliau berharap versi baharu undang-undang itu boleh diundi sebelum akhir bulan ini.

"Walaupun ada artikel yang dianggap bermasalah, ia tidak banyak dan boleh dibahaskan," ujarnya.

Pengkritik mendakwa RUU tersebut melanggar kebebasan bersuara dan mendiskriminasikan agama minoriti, wanita serta golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Bagaimanapun, kumpulan terbesar Muslim di negara itu, Nahdlatul Ulama melihat perubahan itu mencerminkan karakter dan personaliti rakyat serta negara Indonesia yang majoriti penduduknya adalah orang Islam.

Semakan semula terhadap kod jenayah negara itu yang tidak pernah dikemaskini sejak penubuhannya ketika era penjajahan Belanda juga mengenakan penalti terhadap pihak yang menghina maruah presiden, empat tahun penjara atas kesalahan menggugurkan kandungan dengan sengaja dan hukuman penjara jika melakukan ilmu hitam. - Agensi