Empat jam padam kebakaran belukar

Anggota bomba memadam kebakaran belukar berhampiran sebuah sekolah kelmarin.
Anggota bomba memadam kebakaran belukar berhampiran sebuah sekolah kelmarin.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Tindakan pekebun membakar pelepah kelapa sawit dipercayai menjadi punca merebaknya kebakaran seluas 2.4 hektar di belukar berhampiran sebuah sekolah di Jalan Tanjong Keramat di sini kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor, Mohd Faisal Jumari berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran di kawasan tanaman kelapa sawit itu pada jam 3.37 petang.

Menurutnya, seramai tujuh anggota diketuai Komander Operasi, Rahim Saibon dan sebuah jentera FRT dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sejurus sampai kita dapati api bermula berhampiran sekolah dan mula merebak ke kawasan belukar lain," katanya.

Mohd Faisal berkata, bomba terpaksa mengambil masa kira-kira empat jam bagi mengawal dan memadam kebakaran terbabit.

"Keadaan cuaca panas menyebabkan api mudah merebak apatah lagi kebakaran membabitkan tanah gambut.

"Tiada mangsa dilaporkan cedera dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya kira-kira jam 8 malam tadi (kelmarin)," katanya.

Artikel Berkaitan: