35 PATI dicekup sembunyi dalam kebun kelapa sawit

No Image Caption
A
A
A

LUMUT - Seramai 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia dicekup ketika bersembunyi dalam kebun kelapa sawit di Segari, Manjung di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, maklumat awal diterima daripada orang awam sekitar jam 9.45 pagi selepas melihat sebuah bot terdampar di pesisir pantai.

"Berdasarkan maklumat itu, polis berjaya menjejaki 24 lelaki, 10 wanita dan seorang kanak-kanak lelaki sedang bersembunyi dalam kebun tersebut.

"Hasil siasatan membawa tangkapan dua lelaki tempatan di sebuah restoran makanan laut di kawasan Kampung Bharu, Manjung," katanya di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, kes diklasifikasikan sebagai penyeludupan manusia.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959.

"Kesemua tangkapan akan direman bagi membantu siasatan," katanya.

Mohamed Nordin menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dan bersekongkol dalam melindungi kemasukan pendatang asing.

"Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Sollehuddin Rahmat di talian 013-7908995 untuk membantu siasatan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!