X

Kindly register in order to view this article
!

Penghakiman penuh prosiding komital terhadap AG dikeluarkan

A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Koroner hari ini mengeluarkan penghakiman penuh berhubung keputusan permohonan bapa kepada Allahyarham Muhammad Adib iaitu anggota bomba dan penyelamat, Mohd Kassim Abdul Hamid untuk memulakan prosiding komital terhadap Peguam Negara (AG), Tan Sri Tommy Thomas.

Dalam penghakiman 14 muka surat, Koroner, Rofiah Mohamad secara panjang lebar menghuraikan mengapa mahkamah menerima prosiding komital tersebut.

Menurutnya, mahkamah menerima permohonan Mohd Kassim, 65, berdasarkan beberapa faktor.

Dalam hujahan, Mohd Kassim selaku pemohon percaya bahawa AG menggunakan kedudukan mengenai punca kematian arwah, sedangkan tindakan itu merupakan satu penghinaan mahkamah.

"Umum mengetahui bahawa inkues kematian Muhammad Adib ini menarik perhatian umum.

"Setiap perkembangannya dilaporkan media dan diikuti dengan teliti oleh masyarakat awam terutamanya netizen," katanya.

Justeru itu katanya, ia dikelaskan sebagai kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam.

Menurutnya, senario kejadian yang menjadi latar belakang kepada kematian Muhammad Adib pula menjadikan prosiding berkenaan amat penting untuk dilihat bebas dan telus di dalam mencari punca kematian mangsa tanpa sebarang campur tangan atau kacau ganggu daripada mana-mana pihak.

"Maka pendekatan yang adil dan wajar di dalam menentukan persoalan ini adalah dengan melihat kesan tindakan AG kepada prosiding ini daripada kaca mata dan persepsi umum," katanya.

Mohd Kassim berkata, inkues itu diadakan selaras dengan kuasa dan AG sendiri mengikut Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan arahan berkenaan menunjukkan punca kematian Muhammad Adib adalah 'tidak diketahui' kepada AG.

Dengan arahan ini katanya, AG menyerahkan kepada bidang kuasa koroner untuk menjalankan siasatan dan akhirnya memutuskan punca kematian arwah Adib sejajar dengan terma-terma rujukan yang digariskan oleh peruntukan Seksyen 337 KTJ.

"Amat tidak wajar dan menyalahi prinsip perundangan inkues serta subjudis bagi AG untuk mengambil kedudukan mengenai punca kematian Muhammad Adib yang masih menjadi persoalan yang cuba dirungkai di dalam inkues yang sedang berlangsung," katanya.

Katanya, Ia berdasarkan peristiwa susulan arahan AG antaranya terhadap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk menamatkan khidmat peguam, Syazlin Mansor biarpun inkues hampir mencapai penghujungnya iaitu penarikan diri peguam Syazlin (27 Mei 2019), tertangguhnya inkues yang dijadualkan mendengar keterangan semula saksi pada hari yang sama, kenyataan media AG (28 Mei), pelantikan peguam kanan Persekutuan dari Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menggantikan peguam Syazlin dan kenyataan akhbar Syazlin (12 Jun).

"Perkara itu bukan sahaja mengejutkan malah menjadi perdebatan umum.

"Pelbagai reaksi dan persepsi timbul terhadap prosiding inkues ini antaranya gesaan bagi menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang bebas bagi menyiasat punca kematian Muhammad Adib bagi menggantikan inkues ini dan luahan mengenai hilangnya kepercayaan kepada inkues yang sedang dijalankan," katanya.

Mengulas lanjut katanya, AG sepatutnya boleh menjangkakan, jika beliau mengambil kedudukan pra matang mengenai punca kematian arwah Adib, memberikan gambaran yang boleh ditafsirkan oleh umum sebagai campur tangan, akan timbul kegelisahan dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Ia juga turut memberi kesan terhadap integriti, ketelusan dan kebebasan di dalam pelaksanaan keadilan di dalam prosiding inkues yang sedang berlangsung.

"Oleh itu, atas imbangan kebarangkalian itu, saya memutuskan pemohon menunjukkan secara prima facie bahawa AG melakukan penghinaan terhadap mahkamah.

"Dengan itu, saya membenarkan pemohon untuk memulakan prosiding penghinaan terhadap AG," katanya.

Mahkamah sebelum ini membuat keputusan tersebut pada 27 Ogos lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus