203 laporan kes paip pecah: Air Selangor

 Suhaimi Kamaralzaman
Suhaimi Kamaralzaman
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 203 kes paip pecah disebabkan kerja-kerja dilaksanakan pihak ketiga dilaporkan dalam tempoh antara Januari dan Ogos lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman berkata, Taman Tasik Perdana merupakan lokasi yang merekodkan kekerapan insiden paip pecah tertinggi iaitu sebanyak 15 kes dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, statistik menunjukkan jumlah laporan kes paip pecah juga banyak diterima di kawasan Kampung Pandan dan Jalan Ayer Panas, Setapak yang masing-masing merekodkan sembilan kes.

"Insiden paip pecah menyebabkan puluhan ribu pelanggan berdepan gangguan bekalan air.

"Pihak kami mohon maaf atas segala kesulitan dialami pelanggan ekoran insiden paip pecah oleh pihak ketiga yang di luar kawalan pihak kami.

"Bagi setiap insiden yang berlaku, Air Selangor maklum dan lapor kepada pihak berkuasa serta agensi berkaitan untuk mengambil tindakan bagi mengelakkan insiden berulang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Senarai kawasan yang kerap berlaku insiden paip pecah disebabkan oleh kerja-kerja pihak ketiga.
Senarai kawasan yang kerap berlaku insiden paip pecah disebabkan oleh kerja-kerja pihak ketiga.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Air Selangor sentiasa berusaha meminimumkan impak gangguan dan menyalurkan bantuan dengan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan terjejas.

"Segala kesulitan dialami pelanggan amatlah dikesali namun kami hargai kerjasama dan kesabaran berhubung perkara ini," katanya.