Sabah guna BIMP-EAGA pacu ekonomi Labuan

Mohd Shafie (kanan) menerima kunjungan hormat Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli (tengah) bersama Gabungan Dewan-Dewan Perniagaan Wilayah Persekutuan Labuan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini.
Mohd Shafie (kanan) menerima kunjungan hormat Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli (tengah) bersama Gabungan Dewan-Dewan Perniagaan Wilayah Persekutuan Labuan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah merancang untuk memanfaatkan platform Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) untuk membantu memacu pertumbuhan ekonomi Labuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, terdapat juga rancangan untuk mengaktifkan industri pemprosesan hiliran sektor tertentu di Sipitang yang akan memberi kesan positif kepada Labuan.

"Sektor kewangan antarabangsa Labuan jauh lebih baik berbanding pusat lain di rantau ini. Bagaimanapun, usaha bersepadu untuk mempromosikan sektor itu secara agresif daripada kerajaan Persekutuan adalah diperlukan," katanya dalam pertemuan dengan wakil-wakil daripada tujuh Dewan Perniagaan Labuan di sini hari ini.

Tujuh dewan perniagaan itu ialah Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Labuan (DPMML), Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML), Dewan Perniagaan Tionghua Labuan, Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Labuan, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun, Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) dan Dewan Perniagaan Islam Labuan.

Pada masa sama, Ketua Menteri berkata, Labuan perlu membangunkan produk pelancongan yang menarik untuk menarik pelancong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Beliau turut memaklumkan kerajaan Sabah menyokong cadangan jambatan yang menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah.

"Langkah ini akan membantu merancakkan pembangunan ekonomi Labuan dalam jangka masa panjang,” katanya.

Mohd Shafie berkata, pegawai dari Kementerian Wilayah Persekutuan telah menemuinya untuk beberapa input mengenai cadangan jambatan itu yang dijangka memberi manfaat kepada sektor pelancongan. - Bernama

Artikel Berkaitan: