Nilai hartanah Kuching dijangka meningkat lima tahun akan datang

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian
A
A
A

NILAI hartanah Sarawak khususnya di Kuching dijangka terus meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang, didorong peningkatan aktiviti pembangunan, pertumbuhan ekonomi negeri serta keyakinan pelabur terhadap potensi pasaran tempatan.

Perkembangan tersebut mencerminkan perubahan landskap ekonomi Sarawak yang semakin mendapat perhatian, sekali gus membuka peluang kepada sektor hartanah, perdagangan dan perkhidmatan untuk berkembang seiring dengan pembangunan infrastruktur serta kemasukan pelaburan baharu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, Sarawak kini berada dalam fasa pembangunan yang berbeza berbanding sedekad lalu, apabila negeri itu semakin mendapat perhatian dan keyakinan daripada pelbagai pihak.

Menurutnya, perubahan tersebut turut dapat dilihat menerusi kehadiran syarikat dan jenama antarabangsa yang mula melihat Sarawak sebagai pasaran berpotensi.

"Kira-kira 4,800 unit apartmen telah dibangunkan di kawasan berkenaan sepanjang 10 tahun lalu, manakala lebih 100,000 unit apartmen lagi sedang dibangunkan, sekali gus menggambarkan potensi pertumbuhan sektor hartanah di kawasan itu.

“Harga hartanah di kawasan berkenaan kira-kira 10 tahun lalu hanya sekitar 25 peratus daripada nilai semasa, menunjukkan peningkatan ketara susulan perkembangan pembangunan dan aktiviti ekonomi.

“Kehadiran IKEA di Kuching turut mencerminkan keyakinan terhadap potensi pertumbuhan kawasan berkenaan, selain berupaya meningkatkan daya tarikan komersial dan kediaman di sekitarnya," katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Rasmi IKEA Kuching, stor pertama jenama perabot dan kelengkapan rumah itu di Borneo.

Beliau menambah, prospek sektor hartanah berkenaan dijangka terus diperkukuh menerusi pembangunan sistem Autonomous Rapid Transit (ART) yang menggunakan teknologi hidrogen dan tenaga hijau dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Selain meningkatkan keterhubungan, pembangunan infrastruktur berkenaan berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi serta meningkatkan nilai komersial kawasan yang menerima manfaat daripada kemudahan pengangkutan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Kewujudan kemudahan pendidikan seperti sekolah antarabangsa turut menjadi antara faktor yang meningkatkan daya tarikan kawasan berkenaan kepada pembeli hartanah, pelabur dan golongan profesional,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyentuh pengumuman pelaburan bernilai US$50 bilion iaitu kira-kira RM200 bilion yang disifatkan sebagai perkembangan besar kepada prospek ekonomi Sarawak.

Katanya, pelaburan dalam sektor teknologi berpotensi mewujudkan sehingga 5,000 peluang pekerjaan untuk jurutera dan graduan dalam pelbagai bidang, sekali gus merangsang permintaan terhadap hartanah kediaman serta kemudahan komersial.

"Pelaburan bernilai berbilion-bilion ini berkaitan dengan syarikat teknologi.

"Kuching tidak akan menjadi sebuah bandar yang kecil dari segi pembangunan. Kuching akan menjadi sebuah pusat pertumbuhan yang besar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!