PKR tolak gesaan tidak bertanding pilihan raya di Sabah

KOTA KINABALU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menolak gesaan pemimpin parti tempatan supaya parti itu tidak bertanding di negeri ini, seperti keputusan yang diambil dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Sabah, Datuk Peto Galim berkata, keputusan PKR untuk tidak bertanding di Sarawak dibuat berdasarkan pertimbangan politik di negeri berkenaan dan tidak boleh dijadikan perbandingan dengan situasi di Sabah.
"PKR Sabah menolak gesaan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, supaya PKR tidak bertanding di Sabah.
"Jika beliau menjunjung autonomi politik Sabah, beliau juga harus menghormati hak rakyat Sabah untuk menentukan sendiri siapa yang layak mewakili mereka," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengenai penyertaan PKR Sabah dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) memandangkan tarikh pilihan raya berkenaan belum dimuktamadkan.
"Buat masa ini, keutamaan pimpinan parti adalah melestarikan dan membangunkan negara serta memastikan hasil pembangunan dirasai rakyat," katanya.
Mengulas lanjut, Peto berkata, PKR Sabah ditubuhkan serentak dengan penubuhan parti itu di peringkat nasional dan negeri ini turut terlibat sejak awal dalam pembentukan parti berkenaan.
"Semangat ini mencerminkan pembentukan Malaysia, yang turut melibatkan Sabah dan Sarawak sebagai pengasas bersama.
"PKR Sabah membawa agenda reformasi yang jelas melalui pentadbiran yang telus dalam mengurus peruntukan, cekap menyelesaikan masalah dan bertanggungjawab kepada rakyat," katanya.
Tambahnya, di peringkat Persekutuan, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menyatukan pelbagai parti dalam Kerajaan Madani.
"Kerjasama itu mewujudkan kestabilan politik untuk melaksanakan reformasi, manakala tatakelola yang baik membantu memastikan bantuan kerajaan sampai kepada rakyat.
"Di Sabah, kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) turut memperkukuh kestabilan politik serta membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada keperluan rakyat.
"Muafakat ini turut menyumbang kepada peningkatan bayaran interim bagi pemberian khas 40 peratus Sabah kepada RM1.5 bilion serta kemajuan dalam penyelesaian perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sepanjang sedekad lalu," katanya.
Sehubungan itu, Peto berkata, kedudukan ibu pejabat sesebuah parti bukanlah satu-satunya jaminan bahawa kemudahan infrastruktur dan ekonomi rakyat Sabah akan bertambah baik.
"Apa yang lebih utama adalah komitmen dan kemampuan menyampaikan perkhidmatan berkesan kepada rakyat," katanya.
Sebelum itu, Jeffrey dalam kenyataannya menggesa PKR mengambil pendirian sama seperti di Sarawak dengan tidak bertanding dalam PRU atau PRN Sabah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
