Dukung bapa di tengah sawah, foto konvokesyen Samrin sentuh hati ramai

SHAH ALAM - Tindakan seorang pelajar dari Keningau, Sabah merakamkan foto kenangan konvokesyen bersama ibu bapanya di tengah sawah padi menyentuh hati ramai selepas gambar berkenaan tular di media sosial.
Lebih meruntun perasaan, Samrin Asri, 21, dilihat mendukung bapanya, Asri Cago, 67, yang kehilangan sebahagian kaki kanan akibat kemalangan ketika menggunakan mesin rumput di kawasan sawah pada 25 November tahun lalu.

Menurut Samrin, perbuatan mendukung bapanya seperti yang dirakamkan dalam foto itu bukan sesuatu yang asing kerana sudah menjadi rutin sejak lelaki berkenaan menjalani pembedahan akibat kemalangan.
"Memang selalu dukung ayah. Selepas pembedahan, bila ayah dah boleh bangun dan duduk, kami belum ada tongkat untuk diberikan kepadanya. Jadi, saya memang selalu mendukungnya dengan cara dia memegang bahu saya," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, foto Samrin mendukung bapanya dengan ditemani ibunya, Ati Saang, 59, dikongsikan menerusi akaun TikTok kucingjogging dan meraih 159,000 tontonan serta 44,000 tanda suka.

Mengimbas kejadian yang menimpa bapanya, Samrin berkata, insiden itu berlaku ketika bapanya sedang memotong rumput di kawasan sawah menggunakan mesin rumput.
Lebih memilukan, dia sendiri menyaksikan keadaan bapanya selepas kejadian tersebut bersama abang keduanya.
"Saya nampak sendiri keadaan kaki dan darah ketika itu. Memang tidak sangka perkara seperti itu boleh berlaku," katanya.
Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, ketika itu dia baru pulang bercuti semester dan sempat berbual dengan bapanya pada malam sebelum kemalangan berlaku.
Samrin berkata, kawasan sawah padi yang dipilih sebagai lokasi merakamkan foto itu turut mempunyai nilai sentimental buat keluarganya kerana mengingatkan mereka kepada kehidupan dahulu ketika masih menetap berhampiran kawasan sawah.
Bagaimanapun katanya, selepas bapanya tidak lagi mampu bekerja akibat kemalangan itu, abang-abangnya mengambil tanggungjawab membantu menanggung perbelanjaan keluarga termasuk yuran pengajian dan keperluan hariannya.
"Saya tidak pernah rasa kekurangan kasih sayang mereka. Walaupun tahu keadaan kewangan keluarga, ayah dan mak tetap cuba memberikan duit ketika saya belajar.
"Sekarang abang-abang yang banyak membantu dari segi yuran dan perbelanjaan harian," katanya.

Samrin sebelum ini menamatkan pengajian diploma di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kini menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Jasmani) di universiti sama.
Menurutnya, dia tidak menyangka foto yang pada awalnya sekadar dikongsikan untuk kenangan keluarga itu mendapat perhatian ramai, apatah lagi dibanjiri doa daripada pengguna media sosial.
"Memang tidak sangka langsung foto itu akan tular. Pada awalnya, hanya kawan-kawan di TikTok yang memberikan tanda suka dan mendoakan perkara baik.
"Selepas bangun pagi, saya tengok semakin ramai yang memberikan perhatian. Saya sendiri terharu apabila membaca begitu banyak doa daripada orang ramai," katanya.
Dalam pada itu, Samrin berpesan kepada anak-anak supaya menghargai ibu bapa selagi mereka masih ada kerana kedua-duanya merupakan insan paling berharga dalam kehidupan.
"Mak dan bapa adalah harta paling berharga dalam hidup. Kita kena hargai mereka selagi masih diberi kesempatan.
"Bahagiakanlah ibu bapa dan jangan putus mendoakan mereka. Semoga kasih sayang kita tidak terhenti di dunia ini dan ALLAH menemukan kita semua kelak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

