Masalah air: Penduduk mahu demo depan rumah Ketua Menteri

NOR FARHANA YA'ACOB

Penduduk Blok E Rumah Pangsa Pantai Peringgit sedang menunggu giliran untuk mengisi air.
Penduduk Blok E Rumah Pangsa Pantai Peringgit sedang menunggu giliran untuk mengisi air.
A
A
A

MELAKA TENGAH - "Susah memang susah sehinggakan kami rasa mahu berdemonstrasi membawa baldi di depan rumah Ketua Menteri (Adly Zahari) jika keadaan terus berlanjutan," kata Ketua Blok E Rumah Pangsa Pantai Peringgit, Ayub Khan Mohamad Sali, 52, ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.

Ayub antara lebih 800 penduduk di rumah pangsa berkenaan yang terjejas dan berdepan dengan masalah air sejak lebih dua minggu lalu.

Ayub Khan berkata, di blok itu sahaja terdapat lebih kurang 100 orang yang mendiaminya namun lebih menyedihkan majoriti mereka terdiri daripada warga emas dan pesakit kronik.

Menurutnya, rumah pangsa itu tiada kemudahan lif dan ini menyukarkan penduduk untuk mengangkut air ke tingkat atas.

"Isu air bukan isu kecil tapi isu yang besar dan melibatkan jumlah yang ramai, cuba bayangkan sekiranya ia berlaku kepada anda," katanya.

Seorang penduduk, Shahmimi Mohd Nizam mengangkat air sambil mendukung anaknya ketika ditemui di Blok E Rumah Pangsa Pantai Peringgit di sini hari ini.
Seorang penduduk, Shahmimi Mohd Nizam mengangkat air sambil mendukung anaknya ketika ditemui di Blok E Rumah Pangsa Pantai Peringgit di sini hari ini.

Beliau berkata, setiap bulan penghuni rumah itu membayar wang pengurusan blok sebanyak RM30.

Sementara itu, penduduk, Mona Abu Amin, 53, berkata, dia juga kasihan melihat warga emas dan penduduk yang mempunyai anak kecil yang terpaksa mengangkut air bersendirian namun apakan daya dia juga tiada kudrat untuk membantu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mona turut mendakwa Syarikat Bekalan Air Melaka (SAMB) tidak menyalurkan sebarang maklumat mengenai masalah air di kawasan mereka dan hanya memperolehi maklumat mengenai masalah air tekanan rendah melalui media cetak dan media elektronik.

"Bantulah kami, kasihani kami. Lori tangki pula hanya datang sehari sekali sahaja, tolong wakil rakyat turun padang melihat keadaan kami," katanya.