Penduduk bimbang panas melampau sebabkan masalah air

Kiong Kim Lan melipat cadar terpakai yang dijual di kedainya.
Kiong Kim Lan melipat cadar terpakai yang dijual di kedainya.
A
A
A

TANAH MERAH - Penduduk di daerah ini bimbang berlaku masalah air jika cuaca panas melampau seperti yang diramalkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Ahad.

Tujuh kawasan di Semenanjung dan dua di Sabah diramal mengalami cuaca panas Tahap 1 (Berjaga-jaga) sekurang-kurangnya untuk tiga hari berturut-turut dengan suhu maksimum boleh mencecah antara 35 dan 37 darjah Celsius.

Kawasan terlibat di Semenanjung ialah Kuala Terengganu (Terengganu), Jeli, Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah (Kelantan), Rompin (Pahang) dan Jempol (Negeri Sembilan).

Ketika ditemui Sinar Harian, ada penduduk mendakwa bekalan air di kawasan mereka mula perlahan tetapi tidak pasti sama ada akibat cuaca panas atau masalah lain.

Peniaga cadar terpakai, Kiong Kim Lan, 50, memberitahu, sudah menyimpan air bagi mengelakkan masalah jika cuaca panas melampau.

"Tangki air yang tinggi menyukarkan air naik menyebabkan kekurangan bekalan. Jadi saya berjimat dan hanya menggunakan tangki itu pada waktu yang benar-benar memerlukan," katanya.

Menurut Kim Lan, walaupun belum lagi mencapai 37 darjah Celsius namun panas yang dirasakan kini semakin berbahang dan berhabuk.

"Sebelum ini saya menjemur cadar yang dijual pada jam 10 pagi tetapi beberapa hari lalu keluar lebih awal bagi mengelakkan kepanasan," katanya kepada Sinar Harian.

Peniaga kacang dan jagung di Kampung Paloh, Nur Najwa Mohd Remli, 24, mengakui diserang demam tiga hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Nur Najwa turut memberitahu, turut melihat suhu melalui sebuah portal dan mendapati suhu mencapai 37 darjah Celsius.

"Saya berasa sangat tidak selesa berada dalam rumah dan terus mencari maklumat mengenai suhu di kawasan ini. Jadi kami di sini sudah merasai panas melampau," katanya.

Bagaimanapun katanya, keadaan itu hanya sehari kerana berlaku hujan sehari kemudian.

Hasmaizan mengemas peralatan jualan di kedainya di Kampung Belimbing, Tanah Merah.
Hasmaizan mengemas peralatan jualan di kedainya di Kampung Belimbing, Tanah Merah.

Sementara itu, peniaga nasi di Kampung Belimbing di sini, Hasmaizan Hussin, 47, mendakwa cuaca semakin panas dan tahun ini keadaan semakin tidak selesa.

Katanya, sebagai persiapan dia akan menyimpan air bagi mengelakkan kemungkinan berlaku masalah bekalan air jika cuaca kering.

"Saya belum ada sebarang perancangan untuk tidak berniaga jika ketiadaan bekalan air tetapi akan tengok kepada keadaan," katanya.

Hasmaizan bersyukur kerana keadaan kesihatan keluarganya dalam keadaan baik dan sentiasa memastikan ahli keluarga minum banyak air bagi mengelakkan demam dan masalah lain.

Perantau dari Selayang, Selangor Norsiah Abdul Aziz, 70, turut berpendapat daerah Tanah Merah lebih panas berbanding kawasan Selangor dan Kuala Lumpur.

Norsiah yang pulang berhari raya bersama suami di rumah mentuanya di Kampung Belimbing turut merasai bahang cuaca panas.

"Sepanjang pulang di sini saya tidak berselera untuk makan kerana cuaca sangat panas dan hanya menikmati buah-buahan dan minum banyak air," katanya.

Norsiah memberitahu, cuaca panas antara 32 hingga 34 darjah Celsius menyebabkan dia sentiasa berpeluh dan berharap akan hujan bagi meredakan kehangatan cuaca.