Tanzania cuba sorok kes Ebola

Sebuah ambulans menunggu pesakit di sebuah klinik di pedalaman Tanzania. -FOTO: AGENSI
A
A

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, Tanzania mungkin menyembunyikan kes wabak Ebola di negara itu.

WHO menyuarakan kebimbangan itu susulan laporan tidak rasmi kematian seorang wanita yang didakwa dijangkiti penyakit tersebut di Dar es Salaam.

"Pada 10 September lalu, kami menerima laporan tidak rasmi mengenai kematian seorang pesakit di Dar es Salaam yang didakwa dijangkiti Ebola.

"Lebih membimbangkan beberapa ahli keluarga dan kenalan si mati juga telah dikuarantinkan kerana menunjukkan simptom wabak berkenaan.

"Namun, sehingga kini laporan klinikal dan keputusan siasatan termasuk ujian makmal tidak pernah dikongsikan dengan WHO," katanya.

Pada 14 September lalu pihak berkuasa Tanzania memberi jaminan kepada agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu bahawa Ebola tidak wujud di negara berkenaan.

Wabak Ebola merebak di benua Afrika antara tahun 2013 dan 2016 serta meragut ribuan nyawa.

Hampir 50 peratus pesakit yang menghidap wabak Ebola akan mati dan selebihnya hanya menunggu masa kematian kerana hingga kini masih tiada penawar untuk wabak itu. - Agensi