Masjid Sri Sendayan ‘Taj Mahal’ Malaysia

Masjid Sri Sendayan di Bandar Sri Sendayan, Seremban dibuka sejak Jumaat lalu.
A
A

MEMPERSONAKAN! Cukup satu perkataan untuk zahirkan keindahan reka bentuk serta seni bina Islam yang disuntik pada struktur Masjid Sri Sendayan di Bandar Sri Sendayan, Seremban yang dibuka sejak Jumaat lalu.

Masjid yang mula dibina pada tahun 2015 di atas tanah seluas 4.5 ekar melalui konsep wakaf itu dilihat seperti Taj Mahal Malaysia ditambah dengan dominasi seni binanya yang bercirikan negara Timur Tengah cukup solid nampak begitu indah.

Tidak hairanlah masjid itu tidak putus dikunjungi dari pagi hingga malam yang bukan sekadar mahu menyaksikan keindahannya, tetapi turut menjadi sebahagian daripada jemaah untuk menunaikan solat.

Masjid yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Seremban itu, diwakafkan oleh pengasas syarikat perbankan Kumpulan RHB, Tan Sri Abd Rashid Hussain.

Ini merupakan masjid kedua yang diwakafkan dermawan itu di Negeri Sembilan selepas Masjid Hussain yang digelar sebagai Masjid Putih di Seremban 2 yang dibina dengan kos RM22.6 juta pada tahun 2012.

Imam Eksekutif Masjid Sri Sendayan, Ahmad Naim Azlan, 32, berkata, masjid berkenaan yang dibina dengan kos lebih RM100 juta itu mampu memuatkan sehingga 5,000 jemaah pada satu-satu masa sekali gus menjadi masjid terbesar di Negeri Sembilan.

“Saya difahamkan kebanyakan seni binanya ditempah khas dari luar negara termasuk ukiran kayu pada dinding ruang solat, tulisan khat, penggunaan saduran berwarna emas dan bongkah jubin mihrab yang berhampiran mimbar.

“Ramai yang menyamakan masjid ini dengan Taj Mahal dan ada juga mengatakan ia seperti Masjid Nabawi dan Masjid Kerajaan Uthmaniyah. Sebab itulah agaknya orang datang tak putus-putus, nak tengok sendiri keindahannya,” katanya.

Menurutnya, pada hari pertama masjid itu dibuka untuk solat Jumaat, lebih 5,000 jemaah yang hadir bukan sahaja dari Negeri Sembilan tapi Melaka, Putrajaya dan Selangor.

Mengenai kemudahan disediakan, Ahmad Naim berkata, ia mempunyai tiga dewan solat iaitu dewan solat utama yang mampu memuatkan seramai 3,000 jemaah, dewan solat kedua (800) dan dewan solat wanita (800 jemaah).

“Selain itu turut dilengkapi dengan bilik kuliah, perpustakaan, dewan serba guna, bilik pengurusan jenazah, bangunan pentadbiran, dewan makan, enam unit rumah sebagai kediaman petugas masjid.

“Apa yang saya boleh cakap, masjid ini betul-betul jadi tarikan dan sebenarnya sebelum siap dibina lagi kita sudah menerima banyak pertanyaan daripada bakal pengantin untuk bernikah di sini,” katanya.

Bagaimanapun beliau berharap kesucian rumah ibadat itu dapat dijaga dan paling penting ia terus meriah dengan jemaah untuk menunaikan solat.

Sementara itu, arkitek yang bertanggungjawab membina masjid itu, Zailan Yusop, 57, berkata, seni bina Masjid Sri Sendayan itu adalah campuran seni bina beberapa masjid dari negara Timur Tengah dan hiasan tulisan khatnya ditulis oleh tokoh khat

paling agung di dunia dari Turki iaitu Sheikh Hassan Celebi.

Beliau juga beberapa kali terbang ke Istanbul, Dubai dan Turki dengan Abd Rashid hanya untuk mencari ilham.

“Sepanjang 30 tahun bergelar arkitek, ini adalah projek paling istimewa saya seperti satu love story. Terima kasih Tan Sri kerana beri kepercayaan pada saya,” katanya.

Ruang solat Masjid Sri Sendayan di Bandar Sri Sendayan, Seremban.
Ruang solat Masjid Sri Sendayan di Bandar Sri Sendayan, Seremban.