Dana RM1.39 juta biaya delegasi bukan 'disamun'

Jimmy
Jimmy
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dana sebanyak RM1.39 juta dibelanjakan untuk membiayai delegasi bagi menarik pelaburan ke Johor dan bukannya digunakan untuk kepentingan peribadi seperti didakwa sebuah portal.

Pegawai Khas Pengerusi Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata, dana itu ditakrifkan sebagai modal awal kerajaan negeri.

"Peruntukan berjumlah RM1.39 juta tidaklah disamun oleh YB Jimmy Puah seperti didakwa pengendali sebuah akaun Facebook sebaliknya wang tersebut boleh ditakrif sebagai modal awal yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri melalui program misi pelaburan untuk membawa pelabur ke Johor.

"Peruntukan RM1.39 juta itu tidaklah hilang atau digunakan secara peribadi oleh YB Jimmy Puah sebaliknya peruntukan tersebut digunakan bagi tujuan misi pelaburan ke 16 buah negara.

"Bermakna satu negara secara purata cuma belanjakan sebanyak RM86,875 sahaja dan ianya jumlah yang sangat munasabah," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini pengendali satu akaun Facebook mendakwa telah menerima laporan perbelanjaan lawatan kerja Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse bersama Pusat Pelaburan Negeri Johor bermula 17 Julai 2018 hingga 30 Oktober 2019 yang menunjukkan tuntutan perbelanjaan ke 16 negara termasuk China, Korea, Jepun, Australia dan Amerika Syarikat mencecah RM1.39 juta.

Mengulas lanjut, Faezuddin berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merekodkan Johor telah menerima pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM24 bilion pada 2018.

"Secara logik sangat berbaloi bermodalkan RM1.39 juta manakala pulangan pula RM24 bilion. Malah semua misi pelaburan ini turut disertai pegawai kerajaan dari pelbagai agensi seperti Pusat Pelaburan Negeri Johor (JSIC) dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPEN)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mempertikaikan kebocoran dokumen sulit kerajaan negeri Johor itu.

"Sangat tidak wajar jika dokumen sulit ini dibocorkan oleh penjawat awam kerana mereka tertakluk di bawah peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan setiap penjawat awam adalah diwajibkan menandatangani Borang Perakuan Akta Rahsia Rasmi 1972 di awal pelantikan.

"Penjawat awam yang membocorkan rahsia kerajaan boleh dianggap sebagai pengkhianat, tidak amanah dan patut dikenakan tindakan tegas!

"Kalau rasa tidak boleh berkhidmat dengan kerajaan yang sedang memerintah pada hari ini, anda sangat dialu-alukan meletakkan jawatan kerana ramai lagi individu yang layak akan mengisi kekosongan tersebut," katanya.